Seorang koordinator program sebuah pertubuhan bukan kerajaan lega apabila Mahkamah Majistret di sini hari ini melepas dan membebaskannya daripada pertuduhan menayangkan filem yang belum diluluskan Lembaga Penapisan Filem (LPF), tiga tahun lepas.

Lena Rasathi Hendry, 31, koordinator program di Pusat Komunikasi Masyarakat (Kosmas) kemudiannya bersalaman dan memeluk ahli keluarga dan rakan-rakannya yang hadir memberi sokongan di galeri awam mahkamah, sebaik sahaja mendengar keputusan itu.

Beliau didakwa menayangkan filem 'No Fire Zone: The Killing Fields of Sri Lanka' yang belum diluluskan LPF di Dewan Perhimpunan China Kuala Lumpur dan Selangor, Jalan Maharajalela, di sini pada pukul 9 malam, 3 Julai 2013.

Ia adalah filem dokumentari yang memaparkan pencabulan hak asasi manusia di Sri Lanka oleh kerajaan dan tentera terhadap rakyat negara itu.

Lena Rasathi didakwa mengikut Seksyen 6(1)(b) Akta Penapisan Filem 2002 yang membawa hukuman penjara hingga tiga tahun atau didenda sehingga RM30,000 atau kedua-duanya.

Majistret Mohd Rehan Mohd Aris membebaskan Lena Rasathi tanpa memanggilnya membela diri terhadap pertuduhan itu selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh di akhir kes pendakwaan.

"Setelah meneliti keterangan dan hujahan pihak pendakwaan, mahkamah memutuskan tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan," katanya sambil memerintahkan supaya wang jaminan RM1,000 dikembalikan kepada penjamin.

Mahkamah membuat keputusan itu selepas mendengar keterangan lapan saksi pendakwaan selama lima hari perbicaraan yang bermula hujung Disember tahun lepas dan awal Jan lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Farith Muhammad Faizal manakala Lena Rasathi diwakili peguam New Sin Yew.