Koronavirus: Polis tahan keluarga warga China enggan dikuarantin

Ernalisa Othman
Januari 26, 2020 03:28 MYT
Kamaruddin berkata, ketiga-tiga mereka telah diserahkan kepada pihak hospital untuk tindakan lanjut. - Gambar fail
Polis Johor telah menahan ibu bapa serta kanak-kanak warga China, yang enggan dikuarantin selepas disyaki mempunyai gejala koronavirus, di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS) Kulai malam tadi.
Mereka ditahan kira-kira pukul 9.20 malam, menurut Ketua Polis Johor Datuk Mohd Kamaruddin Md Din yang mengesahkan perkara itu melalui aplikasi WhatsApp.
"Ketiga-tiga mereka telah diserahkan kepada pihak hospital untuk tindakan lanjut," katanya.
Terdahulu, polis mengesahkan menerima laporan berhubung perkara itu jam 4.20 pagi Sabtu.
BACA: Polis Johor terima laporan kanak-kanak warga China dibawa keluar hospital
Menerusi laporan polis yang tular, ibu bapa kanak-kanak berusia dua tahun itu tidak mahu anak mereka yang mempunyai gejala koronavirus dikuarantin kerana mahu menaiki penerbangan ke China yang dijadual jam 9.55 malam tadi.
Kanak-kanak itu mempunyai gejala influenza seperti demam dan batuk serta dinasihat untuk dikuarantin.
Bagaimanapun, ibu bapanya enggan dan membawa anak mereka keluar dari hospital berkenaan.
#coronavirus #Hospital #Kanak-kanak #koronavirus #laporan polis tular #lari dari kuarantin