NATIONAL
'Kos hidup meningkat, tinggal di kampung pun kena buat kerja tambahan'

Taufiq berpendapat, pekerja di luar bandar sepatutnya menerima gaji setaraf dengan mereka yang bekerja di bandar untuk memastikan keadilan kepada semua pekerja tanpa mengira lokasi.
IPOH: Biarpun tinggal di luar bandar, kos sara hidup tetap menjadi cabaran utama buat golongan muda yang berpendapatan rendah dan sederhana apabila perlu melakukan lebih daripada satu pekerjaan untuk menambah sumber pendapatan.
Ringkasan AI
- Golongan muda yang berpendapatan rendah dan sederhana di luar bandar masih menghadapi cabaran kos sara hidup yang tinggi, memaksa mereka untuk melakukan lebih daripada satu pekerjaan untuk menambah sumber pendapatan.
- Taufiq Ahmad, seorang pekerja kampung di Bagan Datuk, menyatakan bahawa kos hidup di bandar jauh lebih mahal berbanding di luar bandar. Walaupun kos di luar bandar lebih rendah, dia masih perlu berjimat untuk menampung keperluan asas.
- Taufiq berpendapat bahawa pekerja di luar bandar sepatutnya menerima gaji setaraf dengan mereka yang bekerja di bandar untuk memastikan keadilan kepada semua pekerja tanpa mengira lokasi. Selain itu, dia menambah pendapatan dengan melakukan kerja sampingan untuk menampung kos hidup yang semakin meningkat dan menyimpan untuk masa depan.
Dia berkata, kos sara hidup sebelum ini, ketika tinggal dan bekerja di kawasan bandar iaitu di Nilai, Negeri Sembilan, lebih tinggi, kira-kira RM600 sebulan hanya untuk makan dan minum.
"Kos hidup di luar bandar tidak sama seperti di bandar. Harga barangan keperluan di bandar jauh lebih mahal.
"Itu sebabnya saya rasa duduk kampung masih boleh bertahan, tapi tetap kena berjimat," katanya kepada Sinar Harian.
Menurut Taufiq, walaupun tinggal di kawasan luar bandar, dia berpendapat pekerja sepatutnya menerima gaji setaraf dengan mereka yang bekerja di bandar.
"Ini untuk pastikan keadilan kepada semua pekerja tanpa mengira lokasi. Kerja tetap kerja, penatnya tetap sama," ujarnya yang masih bujang.
Sementara itu, katanya, untuk menampung kos hidup yang semakin meningkat, dia tidak bergantung kepada satu sumber pendapatan sahaja.
Jelasnya, di kampung juga ada peluang untuk melakukan beberapa kerja sampingan untuk menambah pendapatan biarpun tiada tanggungan ramai.
Menurutnya, pendapatan tambahan itu digunakan untuk menyimpan sebagai persediaan hidup masa hadapan termasuk merealisasikan impian menamatkan zaman bujang.
Bekas Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Muhammad Ibrahim dilapor berkata, negara kini berada di ambang kemunduran ekonomi sekiranya tiada reformasi menyeluruh dilaksanakan terhadap sistem pendidikan dan struktur pekerjaan negara.
Katanya, realiti pendapatan gaji sebenar di Malaysia pada hari ini merosot sebanyak tiga kali ganda berbanding empat dekad lalu.
Menurut beliau, gaji graduan pada masa kini tidak setimpal dengan pertumbuhan ekonomi yang pesat dan peningkatan kos sara hidup.
Katanya, pendapatan yang diterima jauh lebih rendah daripada apa yang sepatutnya mereka peroleh sekiranya kadar inflasi diambil kira.
*Laporan ini hasil kolaborasi Astro AWANI, Sinar Harian, The Star, Sin Chew Daily dan Malaysia Nanban.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami