KUALA LUMPUR: Peningkatan harga arang batu telah menyebabkan kos penjanaan elektrik meningkat sebanyak 45 peratus, kata Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan pada Selasa.

Namun begitu, katanya, kerajaan telah mengambil keputusan untuk memberi rebat sebanyak dua sen per kilowatt jam untuk pengguna domestik bagi tempoh Februari sehingga Jun 2022.

"Kerajaan menampung subsidi sebanyak RM715 juta, yang mana kita menggunakan dana daripada Kumpulan Wang Industri Elektrik. Kita tidak kenakan apa-apa surcaj walaupun ia sepatutnya dilepaskan kepada pengguna," katanya ketika menggulung perbahasan usul perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KETSA) di Dewan Rakyat, semalam.

Takiyuddin berkata antara Julai sehingga Disember 2021, sebanyak RM1.672 bilion telah dibelanjakan untuk pembayaran bahan api bagi penjanaan elektrik yang sepatutnya dilepaskan kepada pengguna bagi tempoh Februari sehingga Jun 2022.

"Harga sebenar dengan kenaikan harga arang batu yang mendadak di pasaran global telah mencecah AS$105.09 setan metrik berbanding harga yang diunjurkan pada 2021 hanya AS$67.45 setan metrik.

"Ia bermakna pertambahan kenaikan harga bahan api sebanyak AS$37.64 setan metrik. Inilah yang menyebabkan mekanisme Pelepasan Kos Bahan Api Tidak Seimbang (ICPT) ini terpaksa mengenakan kos dilepaskan kepada pengguna komersial dan industri dengan surcaj sebanyak 3.70 sen per kilowatt jam," tambahnya.

Beliau berkata, pengguna komersial dan industri digalakkan untuk meneroka potensi tenaga solar menerusi pemasangan sistem solar bagi kegunaan sendiri dengan menyertai satu program di bawah KETSA iaitu Program Skim Pemeteran Tenaga Bersih 3.0.

"KETSA juga menyarankan pemain industri untuk mengamalkan penggunaan elektrik secara cekap dengan menggunakan peralatan yang dikategorikan 'four star' dan 'five star' yang telah disahkan oleh Suruhanjaya Tenaga," katanya.

-- BERNAMA