KUALA LUMPUR: Kos pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dari Kota Bharu sehingga ke Pelabuhan Klang sepanjang 665 kilometer (km) dan 20 stesen di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor masih kekal pada RM50.27 bilion, Dewan Rakyat diberitahu.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata Malaysia Rail Link (MRL) selaku pemilik projek ECRL tertakluk kepada Akta Pengambilan Tanah (APT) 1960 bagi tanah-tanah yang terlibat dengan projek ECRL.

Berdasarkan kepada APT 1960, pihak berkuasa negeri katanya, boleh mengambil mana-mana tanah yang diperlukan bagi tujuan pembangunan kepada orang awam.

Menurutnya, Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) bersama-sama dengan pihak MRL akan mengenal pasti baki tanah yang tidak ekonomik kesan daripada pengambilan tanah oleh projek ECRL.

"Sekiranya baki tanah tersebut kurang daripada 0.25 hektar dari perwartaan Seksyen 8 Akta Pengambilan Tanah 1960, tanah tersebut akan diambil secara keseluruhan. Pembayaran pampasan yang dinamakan sebagai 'injurious affection and severance' juga akan diberikan kepada pemilik tanah bagi tanah-tanah yang tidak lagi memberi nilai keuntungan akibat pemisahan tanah atau keadaan saiz dan bentuk tanah yang tinggal selepas pengambilan dilakukan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib (PN-Maran) pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Ismail ingin tahu mengenai kos muktamad pembinaan ECRL dan tindakan yang wajar diambil oleh kerajaan dalam menyelesaikan masalah sebahagian tanah pemilik yang terlibat dengan pengambilalihan tanah kerana tanah tersebut tidak lagi boleh digunakan kesan daripada pembinaan ECRL.

Loke berkata Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) akan menjalankan kajian terperinci ke atas kerugian yang dituntut dan menasihati JKPTG mengenai jumlah pampasan yang wajar.

"Seterusnya, pihak JKPTG akan menawarkan jumlah pampasan yang diterima pada hari perbicaraan. Bayaran pampasan akan dibuat dalam tempoh tiga bulan selepas pihak MRL menerima jumlah tawaran pampasan yang disyorkan oleh JKPTG.

"Pemilik tanah boleh membuat bantahan terhadap jumlah pampasan yang ditawarkan dengan mengemukakan rayuan bertulis kepada Mahkamah Tinggi dalam masa enam minggu selepas pengeluaran tawaran pampasan bertulis," katanya.

-- BERNAMA