KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed menafikan dakwaan kerajaan menggunakan perunding asing dan membelanjakan RM2 bilion untuk menyiapkan buku Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Katanya, penyediaan buku RMK-12 itu melibatkan kos yang kecil untuk sesi libat urus, cetakan dan perunding media iaitu RM4.2 juta.

"Sehubungan itu dakwaan (Ahli Parlimen) Port Dickson (Datuk Seri Anwar Ibrahim) yang mengatakan penyediaan buku RMK-12 melibatkan kos RM2 bilion adalah tidak berasas," katanya ketika membuat penggulungan berkaitan portfolio beliau di Dewan Rakyat di sini, pada Khamis.

Menjelaskannya, Mustapa memberitahu, penyediaan buku RMK-12 melibatkan pegawai EPU dengan kerjasama kementerian, agensi dan sokongan pihak berkepentingan yang lain.

"Kita juga menggunakan perkhidmatan perunding tempatan dan bekas pegawai kanan EPU untuk melihat konsistensi dan gaya penulisan supaya mudah difahami," tambahnya.

Sebelum ini, ketika membahaskan RMK-12, Anwar mendakwa kerajaan membelanjakan lebih RM2 bilion untuk menyiapkan buku RMK-12 dengan peruntukan itu disalurkan kepada konsultan luar negara.

Anwar berkata, kerajaan sewajarnya memberi ruang kepada pakar dalam negara untuk menjalankan kajian, termasuk berkaitan kemiskinan dalam menyiapkan buku RMK-12.