KUCHING: Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak menjelaskan kos projek jeti sepanjang 15 meter dan lebar semeter di Kampung Mutap, Bekenu bernilai RM50,000 adalah kerana menggunakan kayu belian.

Justifikasi projek di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) itu susulan tular di media sosial apabila orang ramai mempersoalkan hasil projek dengan kos yang diperuntukkan.

“Tular kenyataan projek yang telah siap itu tidak wajar dengan kos bajet RM50,000.00. Anggaran kos kami adalah berdasarkan Jadual Kadar (SOR) JKR Sarawak tahun 2020 dengan kadar RM9,000.00 semeter kiub bagi kayu belian yang lebih rendah daripada harga pasaran semasa. 

“Kami juga mengambil kira keadaan laluan jalan (jalan ladang) ke Kampung Mutap, logistik dan keselamatan (kawasan yang dipenuhi buaya). 

“Dalam bajet RM50,000.00, kami berjaya mereka bentuk jeti sehingga 15m panjang dengan dua anak tangga,” jelas kenyataannya yang dikeluarkan pada Ahad.

Terdahulu JKR Sarawak telah menyerahkan projek yang siap pada 6 April itu kepada ketua kampung yang telah dimaklumkan dan bersetuju dengan reka bentuk serta bahan binaan jeti tersebut.

“Reka bentuk yang diminta oleh Ketua Kampung sewaktu perbincangan ketika lawatan tapak adalah jeti sepanjang 30m dan dilengkapi dengan pondok kayu.

BACA: Bernilai RM50,000? Jambatan kayu kecil ini undang pelbagai reaksi dari netizen

“Pegawai kami memaklumkan bahawa permintaan itu tidak dapat dilakukan atas faktor bajet yang terhad (RM50,000.00), lalu ketua kampung bersetuju dengan cadangan mengikut bajet yang diperuntukkan,” katanya. 

Tambahnya, ketua kampung memutuskan akan meminta satu lagi dana daripada ahli dewan undangan negeri (ADUN) iaitu Datuk Rosey Yunus untuk melaksanakan fasa kedua jeti tersebut.

Sebelum ini Rosey turut meminta penjelasan pihak JKR untuk siasatan cemuhan orang awam terhadap jeti baharu yang tidak setimpal dengan harganya.