KUALA LUMPUR : Sebuah jeti kayu yang telah siap dibina bernilai RM50,000 di Kampung Mutap, Bekenu, Miri ini mengundang pelbagai reaksi dan komen dari netizen yang mempersoalkan nilai sebenar hasil jeti tersebut.

Menerusi gambar yang dikongsikan oleh Unit Komunikasi Korporat Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak pada Khamis lalu, projek jeti tersebut dikenali sebagai 'Bina Baru Jeti Kampung Mutap' bagi menggantikan jeti lama yang telah rosak.

Bagaimanapun, rata-rata komen netizen mempersoal serta membandingkan harga yang diletak untuk menyiapkan projek berkenaan terlalu tinggi dari hasil sebenar jeti kayu sepanjang 15 meter berkenaan.

Menurut JKR Sarawak, jeti tersebut mengambil masa sebulan untuk siap sepenuhnya pada April tahun ini, malah lebih awal dari perancangan sebenar.

"Projek RTP (Rural Transformation Programme) DUN N.71 Bekenu, Bina Baru Jeti Kampung Mutap merupakan salah sebuah projek di bawah seliaan JKR Miri dengan kos projek berjumlah RM50,000.

"Skop kerja bagi projek tersebut adalah pembinaan jeti 1m lebar x 15m panjang.
                                                                                                                                                                            "Dengan siapnya jeti ini, ianya akan memudahkan penduduk Kampung Mutap, Bekenu untuk menjalankan aktiviti harian khususnya ketika berlaku banjir serta air pasang besar kerana penduduk kampung akan menggunakan laluan sungai sebagai laluan alternatif untuk ke pasar Bekenu," memetik perkongsian Unit Komunikasi Korporat JKR Sarawak di Facebook.