KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu memberi perhatian penuh kepada usaha untuk mengurangkan beban kos sara hidup yang menghimpit rakyat menjelang pembentangan Belanjawan 2023 pada Jumaat ini.

Membahaskan Titah Diraja di Dewan Rakyat, Datuk Seri Hishammuddin Hussein (BN-Sembrong) berkata, langkah tersebut tidak hanya tertumpu kepada golongan B40, sebaliknya juga memfokuskan kepada kumpulan M40 dan belia yang menjadi antara penyumbang utama ekonomi.

"Golongan belia ini mengharapkan lebih daripada harga yang berpatutan, salah satunya ialah peluang pekerjaan.

"Saya ada terbaca banyak pandangan anak muda. Antara kebimbangan mereka ialah landskap pekerjaan di masa hadapan yang berkisar teknologi hijau (green technology), perubahan iklim dan kecerdasan buatan (AI)," katanya pada Isnin.

Membahaskan lagi, Hishammuddin berkata harga bahan mentah, barang keperluan asas, serta makanan harian yang semakin meningkat memberi kesan terhadap poket rakyat.

Justeru, beliau menambah kerajaan perlu memainkan peranan sewajarnya walaupun tekanan kos sara hidup merupakan fenomena global.

"Inilah yang harus diberi perhatian penuh oleh kerajaan. Bukan sekadar nasihat untuk memboikot kedai dan barangan.

"Saya yakin kerajaan berkeupayaan lebih daripada itu. Maka lakukanlah," katanya lagi.

Belanjawan 2023 juga, kata bekas Menteri Pertahanan itu perlu mengutamakan kebajikan anggota pasukan keselamatan negara termasuk keperluan perumahan.

"Sebelum ini, Kementerian Pertahanan (Mindef) telah merancang 12,733 unit Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) sehingga 2030; dengan sasaran satu unit baharu yang dibina, empat unit sedia ada dinaik taraf. 

"Tidak lama lagi pembentangan Belanjawan 2023, saya percaya hal ini menjadi harapan besar anggota pasukan keselamatan negara khususnya supaya aspek perumahan, kesihatan, penaiktarafan kem, pendidikan serta semua aspek kebajikan mereka terus diberi perhatian sewajarnya oleh kerajaan," ujar beliau.

Dalam masa yang sama, Hishammuddin sekali lagi mengulangi pendirian dan komitmen bahawa penting untuk kerajaan meneruskan projek kapal tempur pesisir (LCS).

Sebelum menamatkan tugasan di Mindef, beliau berkata antara usaha yang telah dilakukan adalah memastikan pihak yang salah mesti dihadapkan ke muka pengadilan dan pelan mobilisasi LCS untuk menghidupkan semula projek berkenaan.

"Mereka yang membangkitkan hal ini dahulu kini sudah pun menjadi anggota kerajaan. Kini mereka pun turut bersetuju agar perolehan LCS diteruskan. 

"Saya percaya selain daripada saya, anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), warga Mindef dan orang ramai di luar sana juga ingin tahu apakah status terkini berhubung perolehan Kapal LCS.

"Adakah garis masa untuk menyelesaikan pembinaan kapal LCS pertama dalam setahun dua ini masih kekal atau sebaliknya? Sama ada pihak yang salah dan sedang disiasat akan dihadap ke muka pengadilan.

"Saya amat yakin Kerajaan Perpaduan, khasnya Mindef di bawah kepimpinan Yang Berhormat Rembau (Datuk Seri Mohamad Hasan) akan membentang kepada Parlimen berhubung status terkini," katanya.