Kos sara hidup: Manifesto siapa lebih dekat di hati?

Firdaus Azil
April 30, 2018 23:00 MYT
Semoga lepas ini, setiap kali kita berbelanja membeli barangan keperluan harian, nilai RM100 itu mempunyai lebih kuasa berbanding sebelumnya. - Astro AWANI
Menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kos sara hidup merupakan antara isu yang menjadi keutamaan, baik dari pengundi mahupun parti-parti yang bertanding.
Astro AWANI cuba memahami keresahan yang dialami pengundi segenap lapisan masyarakat, dan juga menilai semak tawaran daripada parti-parti bertanding untuk meredakan keresahan itu.

Seorang pramugari syarikat penerbangan tempatan, ketika ditanya tentang isu yang menghimpit dirinya dan keluarga, dia berkata harga barangan semakin mahal. Membuak-buak semangat dia nak balik mengundi di kawasan N.41 Malim Nawar dan P.070 Kampar.

(Nota: Dia duduk di Mont Kiara, Sri Hartamas.)
Pemandu GRAB pagi ini, katanya mengundi di P.039 Dungun. Marah dia bukan kepalang kerana dia dakwa harga minyak dah enam minggu berturut-turut kekal, seolah-olah ada intervensi di situ.
(Nota: Dalam perbualan, dia ada cerita yang dia dan rakannya ada bisnes sampingan, minggu lepas pergi jumpa orang Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri hantar 'proposal'.)
Ini mungkin situasi yang biasa kita lihat atau dengar. Yang mengalami atau mendakwa mengalami kesempitan kewangan kerana tinggal dan bekerja di Lembah Klang, akan membawa perasaan marah itu pulang ke tempat mereka mengundi.
Dua contoh di atas, boleh dikatakan menjurus kepada mereka yang berpendapatan sekitar RM3,500 ke RM6,500 sebulan.
BACA: "Fahami masalah kos sara hidup, jangan jadi golongan 'sakit perut'," - Dr. Mohd Yusof Saari
BACA: #MalaysiaMemilih: Dua kerja bukan solusi
BACA: Golongan T20 turut terkesan impak kos sara hidup
Bagaimana pula yang berpendapatan 'cukup-cukup makan' iaitu sekitar RM2,500 ke RM3,500 sebulan? Pandangan popular mengatakan, untuk bernafas di Kuala Lumpur ini, perlu berpendapatan sekurang-kurangnya RM4,000 ke atas.
Itu belum kira bagi mereka yang sudah berkeluarga dan mempunyai dua atau lebih cahaya mata.
Yang tinggal di kampung, yang mempunyai seekar tanah untuk dikerjakan, atau mempunyai bot dan sampan untuk mengaut hasil lautan, mahupun yang tinggal menikmati wang pencen atau KWSP, semuanya juga akan merungut perihal yang sama – kos sara hidup.
REALITI PENDAPATAN RAKYAT
Mengikut laporan Penyiasatan Gaji dan Upah Malaysia 2016, penengah gaji dan upah bulanan yang diterima oleh pekerja bergaji meningkat pada kadar 6.2 peratus kepada RM1,703 berbanding RM1,600 pada 2015.
Manakala purata gaji dan upah bulanan pula mencatatkan kadar pertumbuhan tahunan sebanyak 6.3 peratus kepada RM2,463 berbanding RM2,312 pada tahun sebelumnya.
Laporan itu juga menyebut Putrajaya (penengah: RM3,250; purata: RM3,995) mencatatkan penengah dan purata gaji dan upah bulanan tertinggi, diikuti Kuala Lumpur (penengah: RM2,500; purata: RM3,620) dan Selangor (penengah: RM2,362; purata: RM2,972).
Atas sebab itu, ketiga-tiga pakatan induk yang bertanding, baik Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Harapan (PH) melalui Parti Keadilan Rakyat (PKR) mahupun Gagasan Sejahtera pimpinan PAS, dilihat sedar dan akur dengan sentimen rakyat yang kurang berpuas hati.
Sedar dan akur bahawa kos sara hidup itu isu yang perlu ditangani sebaik mungkin atau mereka mungkin akan dihukum seberat-beratnya oleh rakyat.
BACA: PRU14: Ini perbandingan manifesto dari aspek kos sara hidup
APA KATA RAKYAT?
Daripada satu pola pengundian yang dijalankan, lebih 61 peratus daripada kira-kira 1,700 responden bersetuju Manifesto PH lebih menyentuh mengenai kos sara hidup, diikuti Barisan Nasional (26 peratus), dan Gagasan Sejahtera (13 peratus).

From your views, which manifesto addresses the 'cost of living' more? BN: https://t.co/6Q4z9O70Dm PH: https://t.co/26SHQdkt4y GS: https://t.co/YCKZimx3r6 #MalaysiaMemilih #PRU14 #GE14 @501Awani P/S: Jgn vote dengan emosi.

— F.A Awani (@FirdausAzil) April 30, 2018
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Ditanya apa agaknya faktor yang mempengaruhi kesulitan kewangan mereka, rata-rata menyebut harga barangan meningkat, kadar pendapatan atau gaji yang statik serta kurangnya penguatkuasaan dalam mengawal harga.

Kehendak yang tinggi. Msia is at the intersection of sorts, digital speed but sloth-like wages

— aida allias (@sadtigger27) April 30, 2018
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.

klu pendapatan meningkat tinggi pun harga akan meningkat..salah siapa..siapa yg kawal harga..kecuali harga kawalan..bukan kah peniaga yg mengambil kesempatan demi keuntungan berlipat ganda.

— Mohd Azam Mohd Yusof (@azzamys13) April 30, 2018
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.

Barang mahal. Pergi beli groceries, paling kurang pun mesti kena RM100, padahal beli susu, telur, roti, maggi, sayuran, poultry, buah2 dengan cereal.

— Ex-coffee addict (@kakkumei) April 30, 2018
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.

Everything is going up in price (goods/ rental/ petrol), but income remains the same. Fresh grads are still being paid what I got when I first started out. I see where the resentment is coming from.

— Lisa J. Ariffin (@lisajariffin) April 30, 2018
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Berbalik kepada pola di atas, tertanya-tanya juga adakah mereka sebenarnya membaca apa jua yang ditawarkan ketiga-tiga pakatan induk berkenaan. Atau, sebenarnya mereka sudah menentukan parti mana sebenarnya menjadi pilihan hati.
TAWARAN BN, PH DAN GAGASAN SEJAHTERA
Jika diteliti, Manifesto PH itu lebih dekat di hati, kerana sifat populisnya yang tersendiri.
Bayangkan, janji mereka berbunyi, dalam 100 hari pertama memerintah, Kerajaan PH akan menghapuskan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) serta menurunkan tekanan kenaikan harga yang membebani rakyat.
"Pakatan Harapan percaya bahawa rakyat berpendapatan rendah perlu dibantu, bukannya ditekan.
"Dalam jangka masa pendek, Kerajaan PH akan menghapuskan GST yang zalim ini dan menggantikannya dengan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang lebih adil dan tidak menyusahkan rakyat dan peniaga," kata Manifesto PH itu.
Selain itu, PH juga berjanji untuk berkongsi kekayaan negara secara saksama, kerana mereka berpendapat, perkembangan ekonomi Malaysia tidak membawa faedah yang sama rata kepada rakyat.
Turut dijanjikan ialah bantuan kerajaan dengan cara dan kadar bersasar – "Mereka yang layak menerima BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia) akan terus menerima bantuan dan proses pembayaran akan dipastikan bebas daripada diskriminasi atau pengaruh politik kepartian."
Selain itu, PH berkata mereka akan mengambil langkah segera untuk menghapuskan kutipan tol di lebuh raya secara berperingkat.
Bercakap soal BR1M, polisi ini merupakan dasar BN yang cukup popular, kerana bermula 2012, ia merupakan sesuatu yang ditunggu-tunggu rakyat jelata setiap kali Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membentangkan belanjawan bagi tahun berikutnya.
Cukup popular sehingga PH juga tidak mampu untuk menidakkannya.
Tetapi melalui manifesto mereka, BN juga menyentuh beberapa aspek lain, dengan harapan kesemua yang dijanjikan dapat sedikit sebanyak meningkatkan undi sokongan serta meredakan kemarahan.
Antaranya, mereka berjanji untuk meningkatkan gaji minimum kepada RM1,500 dalam masa lima tahun, menentukan paras gaji sektor swasta yang lebih setimpal melalui Fair Works Commission, serta menurunkan had maksimum kadar faedah dan caj lewat bayar kad kredit.
Bagi golongan petani, pesawah dan nelayan, BN berjanji untuk meningkatkan skim bantuan tani dan bantuan musim tengkujuh, serta memperuntukkan RM222 juta untuk peneroka-peneroka FELCRA, KESEDAR dan KETENGAH.
Dan yang paling penting, BN akan meminda Akta Kawalan Harga dan Anti-Pencatutan bagi meluaskan kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan.
Melalui manifesto Gagasan Sejahtera pula, PAS berjanji untuk membentuk dasar dan penyelesaian bagi mengatasi bebanan rakyat dalam jangka masa pendek dan panjang.
Bagi menyelesaikan masalah kos sara hidup, mereka berjanji untuk memansuhkan GST dan menggantikannya dengan sistem cukai yang lebih adil seperti Cukai Atas Simpanan Korporat dan Cukai Saham di Bursa Malaysia.
Selain itu, mereka juga berjanji untuk menstrukturkan kadar bayaran tol, memperkenalkan semula subsidi petrol dan diesel dan melupuskan hutang pinjaman PTPTN.
Turut dijanjikan ialah bantuan makanan asasi kepada golongan fakir dan miskin secara bulanan menerusi satu program kebangsaan.
PILIH DENGAN BIJAK
Sebagai pengundi yang arif dan rasional, telitilah ketiga-tiga manifesto parti yang bertanding, dan buatlah pilihan dengan tepat.
Semoga lepas ini, setiap kali kita berbelanja membeli barangan keperluan harian, nilai RM100 itu mempunyai lebih kuasa berbanding sebelumnya.
#Barisan Nasional #ekonomi #Gagasan Sejahtera #GST #keluarga #kos sara hidup #MalaysiaMemilih #Manifesto #minyak #nelayan #Pakatan Harapan #Parti Keadilan Rakyat #PAS #petrol #politik #PRU14 #subsidi