KOTA BHARU: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) tidak pernah mengeluarkan senarai nama petugas atau pengurus jenazah di Unit Forensik hospital di negeri ini.

Timbalan Yang Dipertua Maik, Zulkifle Ab Rahman dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr Zaini hussin, dalam satu kenyataan bersama, berkata pihak mereka memandang serius isu bayaran pengurusan jenazah pesakit COVID-19 khususnya caj tayamum yang agak tinggi yang diperkatakan ketika ini.

"Sehubungan itu, tidak ada senarai petugas yang dikeluarkan oleh Maik kecuali makluman tentang kesediaan pihak Maik membantu urusan ini melalui pegawai masjid di bawah Maik, khususnya Pegawai Masjid Bandar dan Jajahan.

"Pihak Maik dan JKNK juga mengambil maklum bahawa terdapat pertubuhan bukan kerajaan (NGO)
yang memberikan khidmat pengurusan jenazah secara percuma di negeri Kelantan termasuk di hospital-hospital," kata mereka dalam kenyataan itu.

Senarai pengurus jenazah yang dipaparkan di Unit Forensik sebuah hospital di Kelantan. Senarai berkenaan bagaimanapun sudah diturunkan. - Gambar/ NGO


Pengurusan Jenazah | Caj tayamum jenazah COVID-19 tidak masuk akal

BACA: Kos urus jenazah pesakit COVID-19 melampau, aniaya keluarga - NGO

BACA: Kos urus jenazah: HRPZII tidak kenakan bayaran guna fasiliti - Pengarah

Dalam pada itu, mereka juga memandang serius kenyataan pihak tertentu yang cuba mengaitkan nama Maik dan JKNK secara tidak bertanggungjawab dalam isu berkenaan.

"Maik ingin menjelaskan bahawa pihak Maik dan JKNK sentiasa bekerjasama rapat dalam menangani isu-isu berkaitan COVID-19.

"Maik melalui pegawai-pegawai masjid khususnya Pegawai Masjid Bandar dan Jajahan sentiasa bersedia untuk menguruskan jenazah pesakit COVID-19 di hospital khususnya urusan tayamum dan solat jenazah sekiranya dihubungi oleh pihak berkaitan sama ada waris kepada si mati atau pihak hospital.

"Maik juga sudah mengedarkan surat makluman kepada semua pengarah hospital di Kelantan berkaitan harga atau saguhati yang telah diselaraskan untuk petugas tayamum sekiranya khidmat mereka diperlukan.

"Perlu ditegaskan dalam hal ini, tiada apa-apa bayaran yang dikenakan oleh Maik dan JKNK ke atas waris. Bayaran saguhati sepatutnya dibayar terus oleh waris kepada petugas yang menyempurnakan tayamum tersebut," kata mereka.

BACA: "RM1,400 sangat mahal" - Waris mangsa COVID-19 kesal kos tayamum membebankan

Mereka turut menyeru semua pihak yang terlibat terutamanya waris untuk menghubungi Pegawai Masjid Bandar dan Jajahan di seluruh negeri Kelantan untuk mengurus jenazah pesakit COVID-19.

Sebelum ini, Astro AWANI melaporkan, mengenai bayaran pengurusan jenazah sebahagian pesakit COVID-19 di negeri ini iaitu antara RM1,300 hingga RM1,800 yang disifatkan melampau, sehingga menekan keluarga golongan kurang berkemampuan.

Pengasas pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Tengku Harith Team Ventures, dilaporkan mendakwa bayaran itu pula bukan kos keseluruhan sehingga pengebumian, sebaliknya hanya membabitkan urusan memandikan jenazah menggunakan kaedah tayamum dan mengkafankannya sahaja.

Semalam Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) dalam satu kenyataan menegaskan tidak mengenakan sebarang bayaran untuk penggunaan fasiliti dan utiliti bagi urusan menyempurnakan jenazah pesakit COVID-19 di hospital itu.

Pengarahnya, Datuk Dr Selasawati Ghazali, menjelaskan pengurusan jenazah bukanlah perkhidmatan yang disediakan oleh hospital berkenaan.

Namun, pihaknya menyediakan kemudahan berkenaan di Jabatan Forensik tanpa mengenakan bayaran untuk kos fasiliti dan juga utiliti.