KOTA BHARU: Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) di sini, menegaskan tidak mengenakan sebarang bayaran untuk penggunaan fasiliti dan utiliti bagi urusan menyempurnakan jenazah pesakit COVID-19 di hospital itu.

Dalam satu kenyataan hari ini, Pengarahnya, Datuk Dr Selasawati Ghazali, menjelaskan pengurusan jenazah bukanlah perkhidmatan yang disediakan oleh hospital berkenaan.

"Bagaimanapun, terdapat banyak permintaan untuk menyempurnakan jenazah di hospital ini. Pihak kami menyediakan kemudahan berkenaan di Jabatan Forensik tanpa mengenakan bayaran untuk kos fasiliti dan juga utiliti.

"Sekiranya pihak waris ingin menyempurnakan jenazah di fasiliti kami, senarai pengurus jenazah yang telah mendapat kelulusan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Kelantan (MAIK) ada disediakan.

"Pihak waris juga bebas untuk membawa pengurus jenazah sendiri tanpa tertakluk kepada senarai yang disediakan," katanya.


Pengurusan Jenazah | Caj tayamum jenazah COVID-19 tidak masuk akal

BACA: Kos urus jenazah pesakit COVID-19 melampau, aniaya keluarga - NGO

BACA: "RM1,400 sangat mahal" - Waris mangsa COVID-19 kesal kos tayamum membebankan

Beliau mengulas laporan mengenai bayaran pengurusan jenazah sebahagian pesakit COVID-19 di negeri ini iaitu antara RM1,300 hingga RM1,800 yang disifatkan melampau, sehingga menekan keluarga golongan kurang berkemampuan.

Pengasas pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Tengku Harith Team Ventures, dilaporkan mendakwa bayaran itu pula bukan kos keseluruhan sehingga pengebumian, sebaliknya hanya membabitkan urusan memandikan jenazah menggunakan kaedah tayamum dan mengkafankannya sahaja.

"Caj berkenaan terlalu tinggi dan membebankan sedangkan harga debu tayamum tidak sampai RM10 setiap pek, yang boleh digunakan untuk proses tayamum enam jenazah," dakwanya kepada ditemui Astro AWAN, sebelum ini.


Jenazah COVID-19 | Kerajaan negeri Kelantan setuju bayar kos tayamum

Mengulas lanjut, Dr Selasawati menjelaskan, kos pengurusan jenazah tertakluk sepenuhnya kepada persetujuan bersama waris dan pihak pengurus jenazah yang dipilih.

"Pihak Maik melalui surat bertarikh 8 Jun 2021 telah mengeluarkan cadangan kadar kos pengurusan jenazah.

"Pihak hospital khususnya Jabatan Forensik tidak pernah menetapkan sebarang kos pengurusan jenazah.

"Urusan bayaran dan pengeluaran resit adalah di antara pihak pengurus jenazah dengan waris berkenaan tanpa melalui pihak hospital," katanya.