NATIONAL
Kosovo tidak pernah lupa sumbangan Malaysia iktiraf kemerdekaan - Presiden

Dr Vjosa memaklumkan, Kosovo tidak akan pernah melupakan sumbangan Malaysia sewaktu negara itu berdepan fasa paling mencabar. - Foto Bernama
PUTRAJAYA: Presiden Kosovo, Dr Vjosa Osmani Sadriu memaklumkan, negara itu tidak akan pernah melupakan sumbangan Malaysia sewaktu negara itu berdepan fasa paling mencabar, termasuk menjadi antara negara pertama yang mengiktiraf kemerdekaannya pada tahun 2008.
Ringkasan AI
- Malaysia diiktiraf sebagai negara yang memainkan peranan penting dalam kemerdekaan Kosovo, dengan pengiktirafan pada 2008 yang membawa harapan dan solidariti kepada rakyat Kosovo.
- Lawatan rasmi Presiden Kosovo ke Malaysia menekankan usaha meningkatkan kerjasama diplomatik dan ekonomi, termasuk penubuhan kedutaan Kosovo di Kuala Lumpur serta perluasan perdagangan dan pelaburan.
- Kosovo dan Malaysia melihat potensi besar dalam sektor seperti pertanian, tenaga, teknologi, dan industri halal, dengan hubungan perdagangan dua hala yang berkembang, mencapai RM28.55 juta pada tahun lalu.
"Keputusan itu membawa harapan, solidariti dan kepercayaan terhadap masa depan dan rakyat kami. Untuk itu, rasa terima kasih kami tidak akan pernah pudar," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media bersama sempena lawatan rasmi empat hari ke Malaysia.
Beliau juga berkata melalui perbincangan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pagi ini, Malaysia dan Kosovo sedang meneroka pendekatan baharu dalam usaha meningkatkan kerjasama antara kedua -dua negara.
"Kami menegaskan semula komitmen kami untuk mengukuhkan hubungan diplomatik, memperluas perkongsian ekonomi dan penglibatan dalam bidang kepentingan bersama.
"Penubuhan kedutaan Kosovo di Kuala Lumpur menghantar mesej yang kuat bahawa rakyat kita harus bekerjasama lebih rapat dan belajar lebih banyak antara satu sama lain," katanya.
Osmani berkata lagi, Kosovo dan Malaysia juga telah bersetuju mengenai kepentingan memperluaskan perdagangan dan menggalakkan pelaburan yang lebih besar dalam sektor utama.
"Terdapat potensi yang besar dari sektor pertanian ke tenaga, teknologi ke industri halal.
"Oleh itu, kita mesti mengukuhkan hubungan perniagaan, mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan membuka jalan untuk prospek baharu," katanya.
Malaysia secara rasmi mengiktiraf Kosovo pada 30 Oktober 2008, menjadi salah sebuah negara Asia pertama yang berbuat demikian.
Hubungan diplomatik kemudiannya secara rasmi dijalinkan pada 18 Mac 2011.
Tahun lepas, jumlah perdagangan dua hala antara Malaysia dan Kosovo mencapai RM28.55 juta, dengan eksport Malaysia ke republik itu bernilai RM25.92 juta dengan import sebanyak RM2.63 juta.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami