BERANANG: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengakui terdapat kenaikan harga ayam di beberapa kawasan di Sabah.

Pemangku Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali, memberi jaminan keadaan itu adalah kes terpencil dan terkawal.

"Memang berlaku di tempat tertentu, harga dinaikkan tinggi daripada dikawal (harga kawalan) sebelum ini. Itu sebab kita putuskan di KPDN kita tangani isu secara bersasar mengikut lokaliti.

"Di Labuan satu kes sampai kepada Perdana Menteri, di satu pasar basah, harga (ayam) dijual sehingga pada kadar RM12.90 sekilogram (kg), jadi bila kita turun padang memang betul.

"(Namun) hari seterusnya dia (peniaga tersebut) turunkan harga. Kita akan terus turun padang, kita minta mereka beri penjelasan dengan notis kita keluarkan (jika naikkan harga)," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyampaikan Bakul Rahmah kepada Pertubuhan Kebajikan Jayaa Sri di sini pada Isnin.

Mengulas lanjut, Armizan berkata, pemantauan KPDN juga mendapati terdapat kekeliruan berhubung dakwaan sesetengah pihak mengenai kenaikan harga ayam di Sabah, Sarawak dan Labuan berbanding Semenanjung.

"Semalam saya berada di Sabah atas arahan Perdana Menteri. Beliau concern dengan aduan yang sampai kepada beliau sendiri berkaitan harga-harga ayam di Sabah, Sarawak dan Labuan yang disifatkan tinggi berbanding Semenanjung.

"Saya maklumkan mungkin ada kekeliruan, kerana harga dipamerkan itu harga dikawal (kawalan) sebelum 1 November... memang sejak dahulu lagi harga lebih tinggi berbanding Semenanjung.

"Apabila diapungkan ada pihak tertentu yang membuat perbandingan, sama dengan harga di Semenanjung, saya maklumkan memang daripada dahulu harga di Sabah Sarawak dan Labuan lebih tinggi," katanya.

Armizan berkata, pemantauan akan diteruskan di seluruh negara bagi memastikan bekalan dan harga ayam di pasaran stabil.

"Hasil pemantauan kita dari 1 hingga 5 November, di Semenanjung Malaysia termurah RM5.79 sekilogram, namun ada juga menjual RM10.50 contohnya di Mentakab dan Temerloh di Pahang dan Pasar Awam Matang di Perak. Tetapi tidak banyak kawasan menjual harga sebegitu.

"Bagi Negeri Sabah yang famous iaitu Ayam Bersih Super yang rendah harganya RM 10 sekilogram, tertinggi RM13.90 sekilogram. RM10 itu rendah daripada harga dahulu iaitu RM11.30 sen.

"Di Sarawak ada menjual harga RM9.90 dan tertinggi RM18.90 sekilogram. Kita dapati di Lawas dan Limbang (harga lebih tinggi) sebab isu logistik dan bekalan," katanya lagi.

Ujarnya, KPDN akan terus mengambil langkah menerusi strategi intervensi dengan memperbanyakkan program Jualan Rahmah dan Agro Madani.