Skip to main content

Malaysia

KPDN laksana Ops Pantau 19 Feb hingga 20 Mac

PAPAR, 15 Feb -- Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali menyampaikan sumbangan kepada masyarakat Cina selepas merasmikan pembukaan Burger King Benono Drive-Thru dan penyerahan sumbangan bakul makanan sempena sambutan Tahun Baharu Cina hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Armizan menyampaikan sumbangan kepada masyarakat Cina selepas merasmikan pembukaan Burger King Benono Drive-Thru dan penyerahan sumbangan bakul makanan sempena sambutan Tahun Baharu Cina hari ini. - Foto Bernama

KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melaksanakan Ops Pantau dari 19 Feb hingga 20 Mac bagi memastikan bekalan dan harga barangan kekal terkawal.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata operasi itu melibatkan premis peruncitan, pasar tani, pasar malam, tamu, pasar raya dan bazar termasuk penjualan dalam talian.

Advertisement

“Ops Pantau untuk kita membuat pemantauan dan penguatkuasaan secara berfokus, lebih kerap dan secara bersasar sepanjang Ramadan hingga menjelang Aidilfitri,” katanya kepada pemberita di Benoni, di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN Datuk Azman Adam dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Manis Datuk Pangiran Saifuddin Pangiran Tahir Petra. 

Beliau berkata selain memantau harga barang kawalan, fokus utama operasi ialah memastikan bekalan barangan asas seperti gula, ayam, telur, minyak masak dan tepung gandum mencukupi di pasaran.

Selain itu, beliau berkata Ops Pantau turut memberi tumpuan kepada penjualan dalam talian susulan perubahan ketara dalam trend kepenggunaan.

“Rakyat kita sudah banyak membeli secara online. Jadi itu perlu dipantau untuk memastikan tiada promosi yang mengelirukan. Contoh apabila ditetapkan tempoh penghantaran, jangan sampai ada barang yang lewat,” katanya.

Armizan berkata penguatkuasaan akan dilaksanakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 serta Akta Perihal Dagangan juga melibatkan premis yang mengadakan promosi jualan murah bagi memastikan tiada iklan mengelirukan pengguna.

Sementara itu, beliau berkata sebanyak 70,906 premis diperiksa di seluruh negara sepanjang pelaksanaan Ops Pantau pada tahun lepas dengan 390 kes direkodkan. Di Sabah, ia melibatkan 3,403 premis dan 37 kes.

Beliau berkata antara kesalahan utama dikesan ialah tidak meletakkan tanda harga, kesalahan timbang dan sukat serta menjual barang kawalan melebihi harga ditetapkan termasuk di bawah skim harga maksimum musim perayaan.

Sehubungan itu, Armizan menggesa orang ramai menyalurkan aduan melalui platform rasmi KPDN supaya tindakan penguatkuasaan diambil segera.

-- BERNAMA

Must Watch Video