Skip to main content

Malaysia

KPDN lancar i-FB, inisiatif baharu pengurusan bantuan makanan - Armizan

Armizan (foto) berkata i-FB adalah pendekatan baharu bagi menggerakkan agenda transformasi dalam memperkukuh pelaksanaan Food Bank Malaysia hasil daripada konvensyen berkaitan perkara itu, hujung tahun lepas. -Foto Bernama
Armizan (foto) berkata i-FB adalah pendekatan baharu bagi menggerakkan agenda transformasi dalam memperkukuh pelaksanaan Food Bank Malaysia hasil daripada konvensyen berkaitan perkara itu, hujung tahun lepas. -Foto Bernama

Advertisement

SABAK BERNAM: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) hari ini melancarkan Inisiatif Ihsan Food Bank (i-FB), yang bukan sahaja berperanan sebagai program bantuan makanan, malah turut menyumbang kepada usaha kelestarian alam sekitar.

‎‎Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata i-FB adalah pendekatan baharu bagi menggerakkan agenda transformasi dalam memperkukuh pelaksanaan Food Bank Malaysia hasil daripada konvensyen berkaitan perkara itu, hujung tahun lepas. 

‎‎Beliau berkata i-FB menekankan usaha menyemarakkan nilai ihsan dalam masyarakat untuk bersama dalam gerakan menyantuni komuniti khususnya golongan rentan dan kumpulan sasar dalam menyalurkan bantuan makanan melalui bank makanan.

‎‎"Satu daripada teras yang digariskan adalah untuk mengurangkan ataupun mentransformasi lebihan makanan kepada bank makanan. KPDN akan membantu dalam menggerakkan program tersebut.

‎‎"Jadi kita harap dengan adanya pendekatan seluruh negara ini kita akan melonjakkan nilai dan makna kepada i-FB ini," katanya ketika ditemui selepas melancarkan i-FB di Politeknik Sultan Idris Shah di sini hari ini. 

‎‎Armizan berkata berdasarkan data daripada Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), rakyat Malaysia dilaporkan menghasilkan sebanyak 17,000 tan metrik sisa makanan setiap hari. 

‎‎Beliau berkata i-FB turut menumpukan usaha menanam nilai kebersamaan menyumbang khidmat bakti masyarakat dalam gerakan menyelamatkan makanan.

‎‎"Ini juga bertepatan dengan komitmen Malaysia terhadap Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 12.3, yang menyasarkan pengurangan separuh daripada pembaziran makanan di peringkat industri dan pengguna menjelang 2030.

‎‎"Satu kajian pernah dikeluarkan Food and Agriculture Organizatization (FAO) mendapati sepertiga iaitu bersamaan dengan 1.3 bilion tan metrik daripada makanan yang dihasilkan di seluruh dunia dibazirkan begitu sahaja," katanya. 

‎‎Armizan berkata i-FB akan melibatkan kerjasama dengan Institusi Pengajian Tinggi serta dimulakan dengan projek rintis di bazar-bazar Ramadan bagi membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat dalam konteks perbelanjaan makanan.

‎‎"Kita akan mulakan secara rintis walaupun belum menyeluruh semua bazar Ramadaan dan saya telah memberikan amanah ini kepada Timbalan Menteri (Datuk Fuziah Salleh) untuk fokus menggerakkan inisiatif ini di bazar-bazar Ramadan," katanya. 

 

‎-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement