Skip to main content

Malaysia

KPDN sasar tingkatkan kesedaran hak pengguna kepada 70 peratus - Fuziah

JOHOR BAHRU, 18 Mei -- Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr Fuziah Salleh bercakap kepada pemberita pada Program Advokasi Dasar Pengguna 2.0 dan Bual Bicara Pengguna di sini hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Datuk Fuziah Salleh berkata sasaran Indeks Pendayaupayaan Pengguna atau Consumer Empowerment Index (CEI) itu mampu dicapai menerusi pelbagai program kesedaran yang digerakkan secara bersama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pengguna di seluruh negara. - Foto BERNAMA

JOHOR BAHRU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berhasrat untuk meningkatkan pencapaian penanda aras tahap pengetahuan dan kebijaksanaan pengguna kepada 70 peratus, berbanding 63 peratus ketika ini.

Timbalan Menterinya Datuk Fuziah Salleh berkata sasaran Indeks Pendayaupayaan Pengguna atau Consumer Empowerment Index (CEI) itu mampu dicapai menerusi pelbagai program kesedaran yang digerakkan secara bersama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pengguna di seluruh negara.

"Kita mahu mereka menjadi pengguna bijak, memahami bahawa mereka boleh buat pilihan...pengguna boleh buat pilihan bukan hanya mengharapkan kerajaan buat segalanya tetapi terlibat sama dalam mengatasi cabaran geopolitik," katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Advokasi Dasar Pengguna Negara (DPN) 2.0 dan Bual Bicara Pengguna di sini hari ini, yang turut dihadiri Pengarah KPDN negeri Lilis Saslinda Pornomo.

CEI mengukur tahap pengetahuan, kemahiran dan keyakinan pengguna untuk menilai sejauh mana pengguna di negara ini memahami hak mereka dan mampu membuat keputusan pembelian yang bijak.

Mengenai program hari ini, Fuziah berkata ia diadakan bagi memperkasa pengguna agar lebih bersedia menghadapi cabaran ekonomi global.

Beliau berkata DPN 2.0 mempunyai lima teras, antaranya menumpukan kepada usaha memperkasa pengguna supaya lebih memahami realiti ekonomi semasa dan mampu mengambil langkah proaktif mengurus perbelanjaan terutama ketika kenaikan kos barangan susulan krisis bekalan global. 

“Usaha itu dijayakan menerusi Skuad Kita Pengguna (SKiP) yang ditubuhkan KPDN sebagai medium penyampaian maklumat yang tepat kepada masyarakat,” katanya sambil memaklumkan setakat Mac lepas, 32,660 ahli SKiP berdaftar di seluruh negara dengan 18 program latihan kesedaran pengguna dilaksanakan

--BERNAMA

 

Must Watch Video