KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menumpaskan aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi, menerusi serbuan Ops Tiris di sebuah premis di Rantau, Negeri Sembilan awal pagi, hari ini.

Timbalan Ketua Pengarah Penguat Kuasa (Operasi) Shamsul Nizam Khalil berkata serbuan yang dilakukan sepasukan anggota penguat kuasa KPDN Putrajaya bermula pada 5.15 pagi itu, menemukan minyak diesel berjumlah 25,000 liter, serta beberapa peralatan lain yang digunakan untuk kegiatan penyelewengan minyak diesel.

"Dua buah lori tangki, pam bermotor, paip penyambung, minyak diesel, beberapa dokumen berkaitan serta peralatan-peralatan lain, telah disita bagi tujuan siasatan lanjut dengan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM183,720," katanya dalam kenyataan hari ini.

Shamsul Nizam berkata tiga lelaki warga tempatan, yang mengaku sebagai pekerja di premis terbabit serta pemilik lori tangki berkenaan yang kesemuanya berumur lingkungan 20 hingga 40 tahun, ditahan bagi membantu siasatan.

"Kertas siasatan telah dibuka dan siasatan lanjut ke atas kes ini sedang dilakukan di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961, bagi mengenal pasti individu/syarikat yang terlibat dalam aktiviti ini serta rantaian pengedaran minyak diesel tersebut, termasuklah sumber minyak diesel ini diperolehi dan diedarkan," katanya.

Beliau berkata modus operandi sindiket itu ialah menggunakan sebuah lori tangki, bagi membeli minyak diesel bersubsidi di stesen-stesen minyak sekitar Negeri Sembilan, Perak dan Selangor.

"Minyak diesel itu kemudiannya akan dibawa ke stor haram terbabit di Rantau, sebelum dipindahkan ke sebuah lori tangki yang lain sebelum dijual kepada pemborong di sekitar Negeri Sembilan dan Pahang," katanya.

Shamsul Nizam berkata berdasarkan statistik penguatkuasaan Ops Tiris bermula 1 Mac sehingga 28 Ogos tahun ini, sebanyak 10,643 pemeriksaan telah dijalankan di seluruh negara dan daripada jumlah itu sebanyak 471 kes, melibatkan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM35.42 juta.

"Sebanyak 393 tangkapan telah dilakukan dalam tempoh yang sama melibatkan 317 individu warga tempatan, 73 individu warga asing dan tiga lagi individu merupakan pemastautin tetap," katanya.

-- BERNAMA