KUALA TERENGGANU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menggesa 90 pejabat Ahli Parlimen yang masih belum melantik Penyelaras Kepenggunaan Parlimen (PKP) agar segera berbuat demikian.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata pelantikan itu perlu dipercepatkan agar dasar dan usaha kerajaan dalam membela hak pengguna dapat disampaikan kepada rakyat dengan lebih berkesan tambahan pula rakyat semakin terhimpit dengan kenaikan harga barangan ketika ini.

"Sejak diperkenalkan pada 2019, individu yang dilantik sebagai PKP ini menjadi orang tengah antara kerajaan dengan rakyat dalam isu-isu penting seperti kos sara hidup, kestabilan bekalan, harga barang keperluan dan aktiviti kepenggunaan.

"Selain memberi penjelasan kepada masyarakat berhubung isu-isu tersebut, PKP juga bertanggungjawab melaporkan kepada KPDNHEP berkaitan isu kepenggunaan yang dihadapi oleh penduduk di kawasan Parlimen masing-masing," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pemukiman Hala Tuju PKP Semenanjung Malaysia 2022, yang turut dihadiri Pengarah KPDNHEP Terengganu Saharuddin Mohd Kia di sini malam tadi.

Pada tahun ini, KPDNHEP telah melantik 107 PKP di seluruh negara, manakala 25 lagi masih dalam proses lantikan.

Cadangan nama calon PKP diberi oleh pejabat Ahli Parlimen sebelum ditauliahkan oleh KPDNHEP dan setiap tahun, individu berlainan akan dilantik untuk menggalas tanggungjawab tersebut.

Terdahulu, dalam ucapannya, Rosol berkata kerajaan sentiasa komited dalam memastikan hak pengguna dilindungi antaranya menerusi langkah intervensi yang telah dilaksanakan selama ini seperti program Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP), kawalan dan penetapan harga maksimum ayam dan telur, Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) dan Program Jualan Malaysia (PJM).

"Ia adalah bukti serius kerajaan membantu meringankan kos belanja dan sara hidup rakyat di negara ini. Bagi memastikan keberadaan dan bekalan barang mencukupi, pemantauan bekalan telah dilakukan oleh lebih 2,000 penguat kuasa dan pemantau harga melibatkan premis peruncit, premis pemborong dan pengilang di kawasan terpilih.

"Sebanyak 25 barang keperluan asas yang telah dipantau antaranya gula, minyak masak, tepung gandum, beras, roti putih, susu tepung, ayam, sayur-sayuran, telur, bawang, gas memasak, kit ujian COVID-19 dan pelitup muka," katanya.

-- BERNAMA