BUKIT MERTAJAM: Kegiatan sindiket penyelewengan gas petroleum cecair (LPG) yang menjadikan kebun kelapa sawit di Bukit Minyak, Pulau Pinang sebagai 'port' aktiviti haram itu terbongkar selepas diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang.

Dalam serbuan jam 2.30 petang Jumaat, beberapa pekerja yang dipercayai melakukan aktiviti penyelewengan gas berkenaan bertindak melarikan diri sebaik menyedari kehadiran 11 penguatkuasa KPDNHEP ke kawasan berkenaan.

Pengarah KPDNHEP Pulau Pinang , Mohd Ridzuan Ab Ghapar, berkata serbuan dijalankan hasil risikan dan aduan orang awam yang diterima berhubung kegiatan berkenaan.

Siasatan pihaknya mendapati aktiviti penyelewengan gas LPG dilakukan di kawasan bertutup di dalam kebun kelapa sawit.

"Modus operandi yang digunakan adalah memindahkan gas LPG bersubsidi 14 kilogram (kg) ke dalam tong gas industri 50kg,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Ridzuan berkata, berikutan itu pihaknya merampas 30 tong LPG 50kg, 108 tong LPG 14 kg dan peralatan yang digunakan untuk memindahkan gas berkenaan yang kesemua hasil rampasan bernilai RM22,500.

Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan denda sebanyak tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak boleh melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali manakala syarikat perbadanan denda boleh dikenakan tidak lebih RM2 juta.

Mohd Ridzuan berkata, KPDNHEP memandang serius pelanggaran kelulusan lesen dan permit barang kawalan yang dikeluarkan pihak KPDNHEP malah menyalahgunakannya hingga menyebabkan kerugian kepada kerajaan dan rakyat.

Sehubungan itu, pihaknya menyeru kepada peniaga yang menjual atau menggunakan barang kawalan berjadual untuk memastikan mempunyai lesen atau permit kebenaran yang dikeluarkan KPDNHEP.

Selain itu mereka perlu mematuhi segala peraturan yang ditetapkan bagi mengelakkan mereka dikenakan tindakan tegas.