Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak menyerbu sebuah kilang pembuatan makanan ringan di Kawasan Perindustrian Pangkalan, Lahat, Ipoh pada Rabu kerana menggunakan sijil halal tidak sah.

Semakan mendapati, alamat premis digunakan dua syarikat dan kedua-duanya menggunakan logo halal pada setiap makanan ringan keluaran mereka.

Ketua Pegawai Penguatkuasa (KPDNHEP) Perak, V. Ravichandran berkata, salah satu syarikat mempunyai persijilan halal yang telah tamat tempoh pada 31 Disember 2016 manakala sebuah lagi tidak pernah mempunyai persijilan halal.

"Operasi ini telah dijalankan bersama Jabatan Agama Islam Negeri Perak dan tindakan penguatkuasaan juga telah diambil ke atas premis ini kerana menyimpan barang-barang kawalan tanpa kelulusan bertulis dari pengawal premis.

"Jadi pemilik premis ini melakukan tiga kesalahan, dua kesalahan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 dan satu kesalahan Akta Kawalan Bekalan 1961," ujarnya.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Halal Jabatan Agama Islam Negeri Perak, Burhanuddin Mohd Dali berharap pengusaha tidak menggunakan logo halal yang telah tamat tempoh.

"Syarikat ini telah mula berlabel (halal) dan telah tamat tempoh pada 31 Disember 2016. Setelah tempoh tersebut, tidak ada lagi pembaharuan untuk persijilan halal sehinggalah tarikh tangkapan semalam.

"Jadi ini merupakan satu kesalahan, iaitu menggunakan label halal yang telah tidak dipatuhi selama tempoh itu," ujar Burhanuddin.

Siasatan turut dilakukan samada syarikat berkenaan mengedarkan makanan ringan keluaran mereka di negeri-negeri lain.