KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan memperhalusi cadangan untuk menurunkan lagi harga kit ujian pantas kendiri serta beberapa alat bantuan COVID-19 lain seperti oximeter dan alat penyembur khas.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi memberitahu, KPDNHEP akan mengkaji kesemua faktor serta mengambil pendekatan situasi menang-menang antara peniaga dan pengguna.

"Kita mengambil pandangan Yang Berhormat Rasah (Cha Kee Chin) dengan serius. KPDNHEP akan memperhalusi dengan sewajarnya dan akan mengkaji kesemua faktor serta mengambil pendekatan yang terbaik dengan membuat libat urus bersama semua lapisan pemain industri.

"Kita tidak mahu mana-mana pihak teraniyai atau terjejas peniaga, pemborong ataupun peniaga," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan yang dibangkitkan oleh Kee Chin (PH-Rasah) mengenai penentuan harga siling kepada alat bantuan COVID-19 sebagai membantu golongan B40.

Mengulas lanjut, Alexander menambah, kementeriannya akan terus melakukan pemantauan harga ke atas mana-mana pihak yang cuba mengaut keuntungan secara tidak munasabah sehingga menyebabkan kenaikan harga yang mendadak sehingga menjejaskan kepentingan pengguna yang memerlukan alat-alat terbabit.

Menjawab soalan asal mengenai, Ahli Parlimen Kapit itu menjelaskan, sepanjang tempoh pemeriksaan ke atas penjualan kit ujian pantas antigen COVID-19 bermula 5 hingga 20 September lalu, sebanyak 2,261 presmis diperiksa membabitkan 123 premis borong dan 2,138 premis runcit.

Daripada pemeriksaan itu, sebanyak 10 notis amaran dikeluarkan kerana menjual melebihi harga maksimum yang ditetapkan kerajaan sebelum ini.