KUALA LUMPUR: Kerajaan akan melaksanakan Program Jualan Keluarga Malaysia bermula 4 Disember ini, di mana barangan keperluan asas adalah antara 15 hingga 20 peratus lebih murah dari harga pasaran.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, program jualan tersebut akan dilaksanakan di seluruh negara melibatkan 222 kawasan parlimen dengan kekerapan dua kali sebulan.

Jelas Ahli Parlimen Kapit Itu lagi, ia merupakan antara inisiatif kerajaan bagi membantu menangani isu kenaikan harga barang yang kian meruncing.

"(Melalui program ini) Kerajaan akan memastikan harga jualan barangan yang ditawarkan adalah 15-20% lebih murah daripada harga pasaran,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng, yang mahu mengetahui tindakan yang diambil untuk menurunkan harga barangan yang naik dengan tinggi dan mendadak.

Media baru-baru ini melaporkan kemungkinan kenaikan mendadak harga barangan asas termasuk ayam, dan sayur, sehingga mencecah antara 30 hingga 200 peratus, menjelang 2022.

Rata-rata pemerhati melihat kenaikan itu adalah akibat fenomena global, serta kurang kawalan di peringkat rantaian pembekalan barangan berkenaan.

Mengulas lanjut, Nanta Linggi berkata, KPDNHEP sentiasa bersiap siaga dalam menangani isu kenaikan harga barang ini dan akan terus mengambil tindakan mengikut peruntukan undang undang di bawah bidang kuasa kementerian.

Beliau berkata, KPDNHEP turut terus komited untuk menggerakkan 2,200 penguatkuasa sedia ada bagi memastikan tidak berlakunya aktiviti pencatutan harga dan peniaga kekal menjalankan perniagaan secara beretika di seluruh negara.

Selain itu Nanta Linggi berkata, kementerian akan memanjangkan tempoh dan memulakan pelaksanaan Skim Kawalan Harga Maksimum Musim Perayaan (SKHMP) lebih awal menjelang perayaan Krismas

“Tarikh pelaksanaan skim kawalan harga ini akan diumumkan oleh pihak KPDNHEP dalam tempoh terdekat.

“Saya ingin memberikan amaran di sini agar tiada pihak yang cuba untuk menaikkan harga lebih awal. Kementerian tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan kepada mereka yang cuba mengambil kesempatan untuk menaikkan harga kerana kenyataan awal saya ini,” katanya lagi.