Kementerian Pembangunan Infrastruktur (KPI) Sabah bercadang untuk membina terowong di kawasan jalan raya berhampiran bukit sebagai alternatif kepada pengguna berbanding menggunakan jalan lereng bukit yang berisiko berdepan kejadian tanah runtuh.

Menterinya Datuk Peter Anthony berkata ini bagi memastikan kedudukan struktur tanah di kawasan berkenaan tidak terganggu sehingga berlaku hakisan bawah tanah terutama ketika musim hujan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Krismas anjuran Pertubuhan Kadazan Dusun Murut (KDM) Malaysia di Kampung Kelatuan di sini, pada Sabtu.

Peter diminta mengulas langkah yang akan diambil kementerian bagi mengatasi masalah itu pada masa depan susulan kejadian tanah runtuh di Ranau, baru-baru ini.

Beliau berkata pihaknya mendapati kejadian tanah runtuh berlaku di Ranau itu berpunca daripada aktiviti pemotongan bukit untuk pertanian dan perumahan.

"Ia (pemotongan bukit) telah mengakibatkan struktur tanah terganggu dan berlaku mendapan sebelum tanah runtuh sehingga menyebabkan jalan terputus.

"Kita telah mengarahkan majlis daerah membuat pemantauan rapi supaya tidak ada mana-mana pihak membuat kerja-kerja tanah di kawasan bahu jalan berdekatan Ranau," katanya.

Kejadian tanah runtuh di Jalan Kota Kinabalu-Sandakan, dekat Ranau, kira-kira 9.40 malam Ahad lalu itu telah mengakibatkan jalan utama terputus selain berlaku kesesakan jalan raya berikutan beratus kenderaan dari kedua-dua arah terkandas.

-- BERNAMA