SHAH ALAM: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan menganalisis semula stok bekalan makanan negara selepas Mei depan, susulan ketegangan geopolitik di Asia Barat.
Menterinya Datuk Seri Mohamad Sabu berkata ketika ini bekalan makanan asas seperti beras, ayam serta sayur-sayuran berada pada tahap mencukupi sekurang-kurangnya hingga Mei, dan rakyat dinasihatkan supaya tidak melakukan pembelian panik.
Advertisement
“Kita (kerajaan) akan melihat perkembangan (stok bekalan) dari semasa ke semasa sehingga bulan Mei ini. Kalau boleh kita harap perang itu ditamatkan dengan segera,” katanya selepas merasmikan Program Jualan Agro MADANI Zon Kota Raja di Padang Rakyat Jalan Kebun, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Mohamad berkata kerajaan juga akan terus melakukan pemantauan bagi mengelakkan kewujudan kartel dalam rantaian stok bekalan makanan susulan ketidaktentuan global akibat konflik di Asia Barat yang berpotensi menjejaskan harga pasaran.
Mohamad berkata pemantauan rapi itu dilaksanakan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi memastikan tiada pihak mengambil kesempatan atau memanipulasi harga bekalan.
Beliau berkata kerajaan akan terus memantau perkembangan konflik di Asia Barat itu yang boleh mempengaruhi peningkatan harga minyak dunia dan seterusnya kos import makanan.
Sementara itu, Mohamad berkata Program Jualan Agro MADANI anjuran Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Selangor dengan kerjasama 14 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dari seluruh negeri itu menawarkan pelbagai hasil pertanian dan produk agromakanan tempatan secara terus kepada pengguna.
Beliau berkata program itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan dalam memperkukuh agenda keterjaminan makanan negara serta membantu rakyat menghadapi peningkatan kos sara hidup.
“Pengunjung yang hadir berpeluang mendapatkan pelbagai barangan keperluan harian seperti ayam segar, telur, daging, minyak masak, sayur-sayuran, buah-buahan serta produk Industri Asas Tani (IAT) dengan potongan harga antara 10 hingga 30 peratus berbanding harga pasaran semasa,” katanya.
-- BERNAMA