KPKM laksana kajian khusus nilai struktur beras negara lindungi pesawah, pengguna

Mohamad Sabu berkata pelaksanaan kajian itu bagi memastikan kebajikan pesawah terus terpelihara tanpa menjejaskan kepentingan pengguna. - Bernama
KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sedang melaksanakan kajian khusus bagi meneliti struktur beras negara susulan kejatuhan harga beras import.
Menteri berkenaan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata pelaksanaan kajian itu bagi memastikan kebajikan pesawah terus terpelihara tanpa menjejaskan kepentingan pengguna.
"Sekarang ini beras import bukan hanya dari Amerika Syarikat tetapi dari luar Amerika pun agak murah sebab itulah kita harus struktur (harga) beras (negara) ini dan kita sedang buat kajian khusus. Ia akan dibentangkan tidak lama lagi," katanya ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi KPKM di Dewan Rakyat, hari ini.
Dalam masa sama, beliau berkata sebarang perubahan terhadap struktur beras negara perlu memastikan golongan berpendapatan rendah atau B40 terus mendapat akses kepada beras pada harga berpatutan.
"Dalam tempoh enam bulan kita buat kajian, kita dapati 15 peratus rakyat yang memerlukan harga lebih kurang RM26 untuk 10 kilogram, sebab itu apa-apa perubahan pun kepentingan 15 peratus yang memerlukan beras pada harga lebih murah itu, kita tidak akan nafikan hak mereka," katanya.
Mengenai harga lantai belian padi yang dinaikkan daripada RM1,300 kepada RM1,500 per tan metrik bermula Februari tahun lepas, Mohamad berkata kerajaan bersetuju mengekalkan ketetapan berkenaan buat masa ini, walaupun terdapat beberapa pihak memohon untuk kenaikan harga lantai belian padi.
Bagaimanapun, beliau berkata KPKM memberikan jaminan bahawa pemantauan terhadap kos pengeluaran padi serta kedudukan pasaran akan terus dilaksanakan secara berterusan dan sekiranya terdapat perubahan ketara yang menjejaskan kebajikan pesawah, perkara itu akan diberi pertimbangan sewajarnya pada masa hadapan.
"Kerajaan ingin menegaskan bahawa penetapan harga lantai padi perlu dibuat secara berhati-hati dan seimbang, dengan mengambil kira keseluruhan rantaian industri padi dan beras.
"Antara faktor utama yang dipertimbangkan ialah struktur kos pengeluaran padi, implikasi kepada kos pengeluaran beras, kesan terhadap harga beras kepada pengguna, serta pergerakan harga beras pada pasaran dunia," katanya.
Dalam konteks itu, Mohamad berkata kenaikan harga lantai padi yang terlalu mendadak tanpa mekanisme sokongan bersesuaian boleh memberikan kesan rantaian yang akhirnya membebankan rakyat sebagai pengguna.
Bagi memperkukuh sokongan kepada pesawah tanpa hanya bergantung kepada harga lantai semata-mata, beliau berkata kerajaan telah menyediakan peruntukan subsidi dan insentif berjumlah RM2.62 bilion pada tahun ini.
"Insentif kepada petani pada masa ini lebih kurang RM4,000 untuk per hektar, iaitu subsidi yang agak tinggi kalau dibandingkan dengan negara-negara di ASEAN, subsidi para petani kita antara yang tertinggi," katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


