MALAYSIA
KPKT akan bentang tiga rang undang-undang berkaitan kebersihan awam

Nga Kor Ming berkata ia melibatkan Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133), Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) serta Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171). - Bernama
KUALA LUMPUR: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan membentangkan tiga rang undang-undang (pindaan) dalam sesi persidangan Dewan Rakyat yang akan bermula Isnin ini, bagi memperkasa aspek kebersihan awam di negara ini.
Menterinya Nga Kor Ming berkata ia melibatkan Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133), Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) serta Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171).
Nga berkata pindaan itu bertujuan menangani isu pembuangan sampah kecil seperti puntung rokok, tisu, plastik, tin minuman dan pembungkus makanan di tempat awam serta jalan awam.
"Langkah ini penting bagi memupuk tanggungjawab sivik, meningkatkan kesedaran awam serta membudayakan amalan menjaga kebersihan sekali gus menyumbang ke arah Malaysia yang lebih bersih dan lestari demi kesejahteraan rakyat," katanya dalam kenyataan hari ini.Beliau berkata menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026, adalah penting untuk rakyat memainkan peranan menjaga kebersihan persekitaran bagi memberikan tanggapan pertama yang positif kepada pelancong asing.
Mengulas lanjut, Nga berkata semasa Program Hari Cuci Malaysia di sekitar kawasan Pasar Seni, Kuala Lumpur pada 28 Sept 2024, KPKT merekodkan kutipan 51.9 kilogram (kg) sisa makanan, 64.3 kg sisa kertas, 127.6 kg sisa plastik dan 541 batang puntung rokok dalam tempoh 12 jam.
Beliau berkata statistik itu membuktikan penguatkuasaan denda oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) pada masa ini tidak lagi berkesan untuk mencegah tabiat pembuangan sampah sewenang-wenangnya.
"Justeru, hukuman berbentuk perintah khidmat masyarakat wajar dilaksanakan bagi mendidik pesalah agar lebih prihatin terhadap kebersihan persekitaran dan mengurangkan kesan pencemaran alam sekitar," katanya.
Nga berkata pindaan itu akan memberi kuasa kepada mahkamah untuk memerintahkan pesalah yang disabitkan menjalankan khidmat masyarakat tidak melebihi 12 jam dan mana-mana individu yang ingkar perintah itu boleh didenda tidak kurang RM2,000 dan tidak melebihi RM10,000, jika disabitkan kesalahan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami