MALAYSIA
KPKT bakal perkenalkan Reformasi Pembersihan Awam di bawah RMK13 - Nga

Nga berucap pada Majlis Apresiasi Hari Pekerja Pembersihan 2025 di sebuah hotel di ibu negara pada Rabu. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan memperkenalkan Reformasi Pembersihan Awam di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) sebagai satu perubahan besar dalam landskap pengurusan pembersihan negara.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata antara pembaharuan utama bakal dilaksanakan termasuklah inisiatif jalan tanpa habuk, penggunaan kenderaan elektrik (EV) bagi kerja-kerja pembersihan pada waktu malam, serta pengenalan Single Window Payment Monitoring System.
"Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan membentangkan RMK13 di Parlimen pada Khamis dan menerusi RMK13, beberapa tonggak utama (diumumkan) antaranya termasuk Reformasi Pembersihan Awam.
"Saya percaya bahawa dengan peredaran teknologi, sektor pembersihan juga perlu mengadaptasikan pengunaan teknologi terkini yang dapat meningkatkan kecekapan serta keberkesanan pelaksanaan tugasan harian," katanya ketika berucap pada Majlis Apresiasi Hari Pekerja Pembersihan 2025, di sini pada Rabu.Majlis itu dianjurkan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) sebagai penghargaan kepada sumbangan dan pengorbanan pekerja pembersihan, dalam memastikan kebersihan dan keharmonian kawasan persekitaran.
Nga turut menyarankan agar sambutan tersebut dijadikan sebagai acara tahunan bagi mengiktiraf jasa dan pengorbanan pekerja pembersihan di negara ini.
Beliau berkata tugas pekerja pembersihan, satu khidmat mulia dan menyeru masyarakat mengubah persepsi serta memberi penghormatan setimpal kepada sektor berkenaan.
Mengulas mengenai aspek penguatkuasaan, beliau berkata Rang Undang-Undang (RUU) Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (Pindaan) 2025 yang diluluskan di Dewan Rakyat minggu lepas membolehkan mahkamah menjatuhkan hukuman denda serta perintah khidmat masyarakat terhadap pesalah yang membuang sampah kecil di tempat awam.
"Oleh itu, saya mengajak seluruh rakyat Malaysia agar lebih bertanggungjawab dalam soal kebersihan bukan kerana takut dihukum, tetapi kerana cintakan negara. Marilah kita bersama-sama memupuk rasa tanggungjawab sesama sendiri demi masa depan yang lebih bersih, sihat dan sejahtera," katanya.
Pada majlis itu SWCorp menerima sijil The Malaysia Book Of Records (MBOR) atas pengiktirafan terhadap arca Struktur Burung Terberat daripada Bahan Kitar Semula.
Inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada usaha SWCorp untuk memupuk kesedaran terhadap kelestarian melalui seni dan penggunaan semula bahan buangan.
Arca ikonik berkenaan kini dipasang pada bangunan di Kuantan Art Street, sekali gus menjadikannya simbol inovasi hijau yang menonjol dalam landskap bandar.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami