Peruntukan undang-undang di bawah Akta Pengurusan Strata 2013 akan dikaji semula bagi mewajibkan pemaju menyelesaikan segala hutang sebelum menyerahkan pengurusan pangsapuri kepada Badan Pengurusan Bersama (JMB).

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Tan Sri Noh Omar berkata ketika ini tiada peruntukan undang-undang yang jelas di bawah akta itu yang menyatakan pemaju perlu menyerahkan pengurusan pangsapuri kepada JMB dalam keadaan liabiliti sifar.

"Kementerian banyak mendapat aduan daripada JMB pangsapuri kos rendah dan sederhana bahawa apabila mereka mengambil alih pengurusan daripada pemaju, segala liabiliti dan hutang pemaju semasa menguruskan pangsapuri itu perlu ditanggung mereka.

"Mereka perlu menjelaskan hutang seperti bil air dan elektrik yang mempunyai tunggakan berpuluh ribu ringgit. Justeru melalui pindaan akta itu, kementerian ingin pastikan tanggungjawab pemaju dan JMB mesti jelas," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melawat Pangsapuri Seri Nipah di Taman Pinggiran USJ, Subang Jaya dekat sini.

Lawatan itu sebagai maklum balas terhadap permintaan penduduk pangsapuri berkenaan yang inginkan KPKT campur tangan menyelesaikan masalah sampah dan kerosakan kemudahan awam di premis tersebut.

Noh berkata pindaan terhadap akta itu apabila diluluskan kelak akan memberi kuasa kepada kementerian mengenakan tindakan terhadap pemaju yang ingkar seperti menyenaraihitamkan mereka daripada melaksanakan projek lain.

Beliau berkata buat masa ini, kementerian akan mengeluarkan satu arahan kepada pemaju supaya memastikan pengurusan pangsapuri diserahkan kepada JMB dalam keadaan sifar hutang.

Mengulas lanjut, Noh berkata Pangsapuri Seri Nipah merupakan contoh di mana JMB tidak mampu menyelesaikan masalah sampah dan kerosakan kemudahan awam di situ kerana terpaksa menanggung tunggakan bil air dan elektrik selepas mengambil alih pengurusannya daripada pemaju.

Katanya ini ditambah dengan kira-kira 80 peratus daripada 323 pemilik unit kediaman di pangsapuri itu yang enggan membayar yuran penyelenggaraan bulanan sebanyak RM38.50.

"Sudahlah tidak ada modal yang cukup untuk uruskan pangsapuri ini, JMB pula perlu tanggung hutang tunggakan bil-bil utiliti. Kita juga dapati majoriti pemilik unit di pangsapuri ini menyewakannya kepada orang lain.

Sehubungan itu, Noh berkata bagi menyelesaikan masalah bil penyelenggaraan, pihaknya telah mengarahkan Pesuruhjaya Bangunan (COB) mengeluarkan surat tuntutan kepada pemilik unit agar membayar bil penyelenggaraan yang tertunggak.

Katanya, pemilik unit kediaman terbabit diberi tempoh sehingga dua minggu untuk membuat pembayaran dan sekiranya gagal mereka bakal berdepan tindakan seperti dibawa ke Tribunal Tuntutan Pengguna atau dikenakan tindakan sita dan bankrap.

"Saya telah minta COB menguatkuasakan undang-undang yang ada dan kita rayu 80 peratus pemilik kediaman yang enggan bayar bil penyelenggaraan ini, bayarlah kerana ini tidak adil kepada 20 peratus lagi penghuni yang membayar.

"Sekiranya tidak bayar, masalah sampah, penyelenggaraan kemudahan awam tidak akan dapat dilakukan JMB," katanya.

Noh dalam pada itu turut meluluskan peruntukan RM80,000 untuk membaiki lif yang rosak di pangsapuri 11 tingkat itu.

-- BERNAMA