KUALA LUMPUR: Kementerian Luar Bandar dan Wilayah (KPLB) akan meneruskan rancangan untuk membina lima lagi Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) pada masa akan datang.

Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Azhar Abdul Manaf berkata, angka terbaharu itu bakal menyaksikan sebanyak 62 buah MRSM bakal beroperasi di Malaysia kelak.

Menurutnya, setakat ini sebanyak 55 buah MRSM sudah beroperasi dan dua lagi iaitu MRSM Ranau di Sabah dan MRSM Bintulu di Sarawak dijangka siap pada tahun ini.

“Dalam perancangan kita, Insya-Allah lima buah MRSM lagi akan dibina pada masa akan datang iaitu MRSM Sik di Kedah, MRSM Ketereh dan Tanah Merah di Kelantan, MRSM Lawas di Sarawak dan MRSM Dungun di Terengganu.

“Untuk makluman, MARA telah membina MRSM hampir di setiap negeri dan pada tahun ini, MARA menerima hampir 75,000 permohonan kemasukan untuk Tingkatan 1 dan Tingkatan 4 dengan nisbah pelajar Bumiputera 90 peratus dan 10 peratus bukan Bumiputera.

“Kini terdapat 36,916 pelajar yang sedang mengikuti pengajian di MRSM seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membacakan teks ucapan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mahdzir Khalid dalam Majlis Pelancaran Portal Persatuan Bekas Pelajar MRSM (ANSARA) di sini pada Sabtu.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Pendidikan) MARA, Razlan Samsuri dan Presiden ANSARA, Mohd Fadzli Yusof.

Dalam ucapan sama, Mahdzir berkata, KPLB dan MARA menghargai peranan ANSARA yang sentiasa aktif dalam menggerakkan agenda bangsa dan negara terutama di dalam MRSM dan MARA.

"ANSARA banyak menyumbang kepada rakyat dari aspek pendidikan, keusahawanan Bumiputera, bantuan bencana alam, program derma darah, usaha membasmi kemiskinan dan banyak lagi.

"Peranan alumni tidak terhad kepada hal ehwal akademik tetapi lebih penting adalah mampu memberi nilai tambah kepada pembangunan sahsiah dan modal insan pelajar sekolah, institusi dan masyarakat.

"Saya berharap melalui ANSARA lebih ramai anak bangsa mendapat manfaat terutamanya dalam aspek ekonomi," katanya.