TAWAU: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) terus memberi komitmen tinggi kepada usaha menyediakan fasiliti bangunan serta kemudahan sekolah yang baik di seluruh Sabah, bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan dalam keadaan selesa.

Komitmen tinggi KPM itu terbukti dengan lawatan kerja Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek melalui Program Tindak Susul Parlimen ke Tawau, Kunak serta Semporna baru-baru ini, bagi melihat sendiri keperluan pembaikan bangunan sekolah daif di tiga daerah itu.

Mengikut data KPM, terdapat 305 projek pembinaan semula bangunan daif di sekolah telah diluluskan di Sabah sehingga kini, dan KPM sedang dan telah melaksanakan 996 projek pembinaan semula bangunan daif di sekolah di seluruh negara, dan daripada jumlah itu 680 projek atau 68.3 peratus merupakan di Sabah dan Sarawak.

Antara sekolah yang mendapat perhatian KPM ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Perdana di Tanjung Batu yang menumpang di bangunan lama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jambatan Putih, yang diperbuat daripada kayu sejak tahun 1997 dan sudah pun dalam keadaan uzur.

Bimbang dengan keselamatan pelajar dan guru sekolah itu, Anggota Parlimen Kalabakan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Batu Datuk Andi Muhammady Suryady Bandy, memohon pembinaan segera bangunan baharu SK Perdana di tapak berhampiran SMK Pasir Putih.

"Infrastruktur uzur sekolah itu membahayakan murid dan kita sangat mengharapkan dengan kehadiran menteri pendidikan untuk Program Tindak Susul Parlimen, melihat sendiri keadaan sekolah ini supaya pembinaan dan perpindahan sekolah baharu disegerakan.

"Saya difahamkan Disember ini atau mungkin Januari depan, Surat Setuju Tawaran akan dikeluarkan kepada kontraktor oleh JKR Sabah. Kemudian memerlukan masa 18 bulan untuk disiapkan dan ini akan menggembirakan murid, guru dan ibu bapa, yang menanti sekolah baharu ini sekian lama," katanya.

Andi Muhammad Suryady berkata tapak sekolah sekarang merupakan kawasan paya bakau yang ditebus guna, menyebabkan sekolah itu dinaiki air ketika air pasang dan bangunan lama daripada kayu itu sudah tentu tidak dapat menjamin keselamatan pelajar serta guru.

Selain SK Perdana, KPM turut memberi perhatian kepada SMK Wakuba di Balung yang dalam keadaan daif, dan bakal memperoleh bangunan baharu di atas tapak seluas 6.07 hektar di Batu 15, Jalan Bukit Quoin, melibatkan pembinaan pembinaan skop penuh bangunan baharu lemgkap dengan 18 bilik darjah, surau, dewan serba guna terbuka, makmal komputer dan lain-lain kemudahan, lengkap dengan perabot dan peralatan.

ADUN Balung Datuk Hamild Awang berkata penduduk amat gembira jika pembinaan sekolah itu dilaksanakan segera, kerana tapak dan peruntukan telah disediakan dan hanya menunggu pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah, menyiapkan pelan bangunan sekolah berkenaan.

"Selepas pelan tersedia, akan panggil tender terbuka pada hujung Oktober dan selesai tender, maka pelaksanaan untuk SMK Wakuba ini kemungkinan besar dapat dilaksanakan pada awal tahun hadapan," katanya.

KPM turut prihatin dengan masalah dihadapi SK Pangi di daerah Kunak yang berdepan ancaman runtuhan cerun serta gelinciran tanah, dan memerlukan penambahbaikan struktur cerun bagi menjamin keselamatan warga sekolah, dan menurut Guru Besar sekolah itu Saidin Banaha perkara itu berlanjutan sejak tiga tahun lalu.

"Ia sudah diusulkan kepada KPM dan JKR juga melihat cerun itu pada tahun lalu. Kita risau keselamatan anak-anak dan guru-guru, keadaan cerun itu semakin serius malah blok berhampiran (cerun) masih digunakan. JKR juga belum datang menandakannya sebagai berbahaya, tanah pula semakin menurun (mendap)," katanya.

ADUN Kunak Norazlinah Arif berkata KPM telah memberi komitmen untuk mengambil tindakan segera, berhubung keadaan serius cerun berkenaan dan tindakan segera ini juga memperlihatkan Kerajaan Perpaduan masa ini mendengar suara keperluan diakar umbi.

KPM melalui Jabatan Pendidikan Negeri dan sekolah, telah mengambil tindakan awal pencegahan dengan meletakkan tarpaulin sheet bagi menutup permukaan kawasan runtuhan cerun, mengadakan sistem saliran sementara dan meletakkan tanda amaran di kawasan runtuhan cerun tersebut, sebelum pembaikan kekal kepada lokasi cerun yang terlibat dapat dilaksanakan.

SK Bangau-Bangau berusia 42 tahun di Semporna yang dibina di antara dua perkampungan atas air iaitu Kampung Bangau-Bangau serta Kampung Panji, dalam keadaan serba kekurangan dengan bangunan usang selain tiada kemudahan makmal dan komputer.

Guru Besar sekolah itu, Hassan Mat berkata sekolah itu dibina pada tahun 1981 dan terdapat banyak kerosakan yang perlu pembaikan segera termasuk bumbung, selain pendawaian yang turut dikategorikan JKR sebagai tidak selamat.

"Terdapat tujuh atau lapan kelas mempunyai lebih 40 orang pelajar, tetapi kelas kecil jadi suasana pengajaran dan pembelajaran tidak dapat dijalankan dengan berkesan, namun guru-guru memberi yang terbaik. Saya harap ditambah sekurangnya lima kelas, selain sekolah kami dilengkapkan dengan makmal komputer," katanya.

Hassan berkata sekolah itu, turut memerlukan kelas khas bagi memberikan kemudahan kepada 11 orang Murid Bekeperluan Khas (MBK) sekolah itu, kerana ketika ini murid berkenaan belajar di dalam kelas tahap murid biasa.

"Guru tahu teknik pengajaran itu lain sikit, tidak sama objektif mengajar murid biasa, cuma sukar sikitlah guru itu dalam kelas ada MBK. Saya mohon kelas ini pada tahun 2019, pihak Pejabat Pendidikan daerah dah ambil tindakan, sudah bawa kepada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), cuma ada isu teknikal," katanya.

Hassan berkata selain daripada peruntukan penyelenggaraan yang disalurkan oleh KPM, setakat ini badan bukan kerajaan (NGO) serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah, banyak memainkan peranan membantu memberi sumbangan untuk baik pulih sekolah dan memberikan persekitaran selesa untuk murid.

Pengarah Pendidikan Sabah Raisin Saidin berkata KPM dan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah mempunyai perancangan jangka panjang untuk penempatan baharu SK Bangau-Bangau, kemungkinan dipindahkan ke tempat lain iaitu di tanah besar Semporna.

Namun beliau berkata pelaksanaan perancangan itu memerlukan masa, justeru bagi tempoh ini, penyelenggaraan sekolah sahaja perlu dilaksanakan bagi memastikan warga sekolah sentiasa berada dalam ekosistem selamat.

-- BERNAMA