Skip to main content

Malaysia

KPM cadang wajibkan kemasukan tahun satu pada usia enam tahun mulai 2029

Mohd Azam berkata perancangan memperkenalkan pendidikan formal pada usia lebih muda bukan perkara baharu kerana perbincangan mengenainya telah bermula sejak 2017 lagi. - Foto Sinar Harian
Mohd Azam berkata perancangan memperkenalkan pendidikan formal pada usia lebih muda bukan perkara baharu kerana perbincangan mengenainya telah bermula sejak 2017 lagi. - Foto Sinar Harian

Ringkasan AI

  • Kementerian Pendidikan bercadang mewajibkan kemasukan kanak-kanak enam tahun ke tahun satu bermula sesi persekolahan 2029, dengan persiapan telah dimulakan.
  • Kemasukan murid enam tahun akan ditawarkan secara pilihan pada 2027 dan 2028, sebelum diwajibkan sepenuhnya pada 2029.
  • Pelaksanaan inisiatif ini melibatkan penyesuaian kurikulum, latihan guru, pembinaan bilik darjah modular, serta pindaan Akta Pendidikan 1996.
Advertisement

SEPANG: Kementerian Pendidikan bercadang untuk mewajibkan kemasukan kanak-kanak berusia enam tahun ke tahun satu mulai sesi persekolahan 2029, dengan persiapan pelaksanaan inisiatif itu telah dilaksanakan secara berterusan bermula tahun ini.

Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Dr Mohd Azam Ahmad berkata bagi memastikan kelancaran pelaksanaan, kemasukan murid berusia enam tahun akan ditawarkan secara pilihan pada 2027 dan 2028 sebelum diwajibkan sepenuhnya pada 2029.

"Daripada aspek infrastruktur, KPM menggunakan pendekatan pembinaan bilik darjah modular yang membolehkan keperluan ruang pembelajaran disediakan dalam tempoh lebih singkat, selain mengoptimumkan penggunaan bilik darjah dan kapasiti prasekolah sedia ada.

Advertisement

"Kurikulum baharu juga telah disesuaikan dengan tahap perkembangan kanak-kanak berusia enam tahun, manakala latihan guru turut diperkukuh bagi memastikan mereka mempunyai kemahiran pedagogi bersesuaian untuk mengendalikan murid pada peringkat usia berkenaan," katanya ketika ditemui selepas sesi taklimat KPM bersama media di sini hari ini.

Mohd Azam berkata setakat ini, sebanyak 73,498 permohonan membabitkan kanak-kanak kohort usia enam tahun yang memasuki tahun satu bagi sesi 2027, manakala 418,151 lagi daripada kohort usia tujuh tahun.

Advertisement

Beliau berkata Selangor, Kuala Lumpur, dan Johor mencatatkan jumlah tertinggi kemasukan murid enam tahun ke tahun satu.

Mengulas lanjut, Mohd Azam berkata perancangan memperkenalkan pendidikan formal pada usia lebih muda bukan perkara baharu kerana perbincangan mengenainya telah bermula sejak 2017 menerusi penglibatan pelbagai agensi dan penelitian laporan antarabangsa.

Bagaimanapun, pelaksanaannya ketika itu mengambil kira beberapa faktor termasuk keadaan ekonomi negara, kesiapsiagaan infrastruktur serta “political will” (kemahuan politik).

Beliau berkata inisiatif itu bukan sekadar perancangan kementerian, sebaliknya satu misi nasional yang memerlukan pendekatan menyeluruh kerajaan dan negara.

Sokongan pelbagai kementerian serta kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membolehkan komponen penting diselaraskan, termasuk pembangunan bilik darjah tambahan sebagai persediaan untuk mewajibkan pendidikan prasekolah pada masa hadapan.

Selain itu, Mohd Azam berkata perubahan itu sebagai sebahagian daripada persediaan sistem pendidikan negara menghadapi cabaran masa depan, termasuk perubahan demografi, negara menua, perubahan iklim dan perkembangan teknologi yang semakin mempengaruhi proses pembelajaran kanak-kanak.

Beliau berkata kementerian turut melaksanakan pelbagai simulasi bagi memastikan semua keperluan pelaksanaan dapat dipenuhi, termasuk pindaan Akta Pendidikan 1996 [Akta 550].

"Berpandukan simulasi yang kita laksanakan, termasuk proses pindaan akta dan penyediaan segala kelengkapan diperlukan, kita sepatutnya bersedia untuk mewajibkan kemasukan tahun satu pada usia enam tahun pada 2029," katanya.

Sementara itu, selepas selesai taklimat bersama media di sebuah hotel di sini, wakil-wakil media dibawa melawat ke Sekolah Kebangsaan Kota Warisan bagi meninjau kelas pendidikan khas integrasi yang dibangunkan menerusi teknologi IBS, yang menempatkan tidak lebih daripada tujuh murid pendidikan khas dalam satu kelas. 

Sekolah itu akan menerima 100 murid berumur enam tahun, dan 443 berumur tujuh tahun bagi kemasukan tahun satu pada 2027, termasuk 30 murid PPKI.

-- BERNAMA

  

Must Watch Video

Advertisement