KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan (JKPPH) mengesa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk menubuhkan Majlis Tindakan Pendidikan Kebangsaan yang dianggotai oleh pakar, professional, ahli akademik dan wakil guru serta persatuan ibu bapa.

Gesaan itu antara lima perkara yang dituntut dalam merangka pelan bersepadu pendidikan pasca COVID-19 dan perancangan jangkamasa panjang untuk pendidikan selepas pandemik berakhir.

Dalam satu kenyataan bersama, mereka berkata isu pendidikan sewaktu pandemik dan sewaktu Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR) dijalankan jauh daripada selesai malah apa yang lebih mencabar lagi ialah pendidikan pasca-pandemik COVID-19 yang rakyat perlukan.

“Jika dilihat kepada perkongsian negara-negara anggota UNESCO pada mesyuarat Menteri-menteri Pelajaran UNESCO pada 29 Mac 2021, pelbagai pendekatan luar kotak telah digunakan hatta oleh negara-negara dunia ketiga.

“Sehingga kini, banyak isu yang ditimbulkan kepada KPM, tetapi tidak pernah mendapat respon dan jawapan. Malah, Menteri Kanan dan kedua-dua timbalannya seakan-akan mengetepikan suara rakyat, suara para guru, ibu bapa, kesatuan guru dan masyarakat amnya,” kata kenyataan itu.

Ini lima gesaan Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan (JKPPH): 

a) KPM berkongsi data murid cicir serta menyatakan pelan mereka untuk memperbaiki keadaan dan langkah-langkah pemulihan.

b) KPM perlu juga berkongsi data keberkesanan PdPR dan membentang pelan penambahbaikan demi kelangsungan pendidikan murid-murid di seluruh negara.

c) KPM seharusnya mewujudkan satu laman web rujukan yang khusus (one stop center) kepada para guru dengan memuatkan bahan pengajaran, modul dan latihan yang boleh digunakan untuk PdPR.

d) Kerajaan perlu menubuhkan Majlis Tindakan Pendidikan Kebangsaan yang dianggotai oleh pakar, professional, ahli akademik dan wakil daripada para guru dan persatuan ibu bapa untuk merangka pelan bersepadu pendidikan pasca COVID-19. Hal ini telah berkali-kali dibawa oleh pelbagai pihak namun dipandang sepi oleh kerajaan.

e) Pihak kerajaan menggembleng tenaga di antara KPM, KKMM dan agensi-agensi lain untuk memperbanyakkan lagi siaraya, mesej video tular dan rancangan di televisyen untuk membimbing ibu bapa bagi membantu anak-anak sepanjang PdPR berlangsung.

JKPPH turut menekankan bahawa prinsip ‘Pendidikan Berkualiti Untuk Semua’ dan ‘Pendidikan Adalah Tanggungjawab Bersama’ tidak boleh digadaikan.

"Kerajaan tidak boleh lagi berlagak dengan sikap Kerajaan lebih mengetahui yang terbaik lagi. Usaha kolaboratif diperlukan untuk memastikan pendidikan yang terbaik dapat diberikan kepada anak-anak nusa," tambah kenyataan itu lagi.

Katanya, KPM perlu menjadi pemudah cara untuk menggembleng tenaga semua untuk rakyat bangkit seiring senada bersama membangunkan pendidikan negara.