LANGKAWI: Kementerian Pendidikan (KPM) menggalakkan semua sekolah di sini membawa pelajar mereka mengunjungi Kilim Karst Geoforest Park Langkawi sebagai lawatan sekolah bagi sesi pembelajaran luar kelas dalam usaha menerapkan kepentingan memelihara kelestarian alam sekitar.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata kementeriannya memberikan ruang kepada pelajar mengikuti pembelajaran di luar kelas, antaranya di Geoforest Park itu yang memiliki fasiliti lengkap dan sangat sesuai bagi mereka mendapatkan pendedahan mengenai pendidikan lestari.

"Alhamdulillah hari ini juga saya setuju memberi satu lagi laluan kepada anak murid, (iaitu) '1 Pelajar, 1 Pokok' (inisiatif menanam pokok bakau), kita galakkan lebih ramai pelajar datang dan menjadi duta Geopark (Geoforest Park) ini.

"Insya-Allah kita akan pastikan program seperti ini dilaksanakan, saya ingat di Langkawi ini ialah tempat terbaik untuk anak-anak kita menjadi Duta Geopark khususnya bercakap tentang kelestarian alam sekitar," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, beliau yang juga Presiden Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia (SKUM) merasmikan Program Mangrove-ing Our Land di Geoforest Park berkenaan di sini hari ini, yang bertemakan 'Protecting nature, Better future' sempena Hari Konservasi Ekosistem Hutan Paya Laut Antarabangsa UNESCO 2023.

Penganjuran program itu buat pertama kalinya dianjurkan dengan kerjasama SKUM dan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) selaku pihak pengurusan Langkawi UNESCO Global Geopark (LUGGp), yang bertujuan meningkatkan kesedaran awam mengenai peranan hutan paya laut sebagai salah satu tunjang kelestarian ekosistem alam sekitar.

Antara pengisian program itu ialah aktiviti penyemaian anak pokok bakau bersama guru dan pelajar sekolah serta penghasilan batik berasaskan pokok bakau selain peserta turut berpeluang menanam pokok bakau di sekitar kawasan Mangrove Sanctuary di Geoforest Park itu.

Fadhlina berkata komitmen UNESCO bersama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), pihak Geoforest Park itu dan LADA memainkan peranan penting untuk menyemarakkan lagi program sedemikian yang dilihat sangat bagus untuk meningkatkan kesedaran pelajar tentang kepentingan menjaga ekosistem alam sekitar.

Sementara itu Fadhlina menegaskan usaha untuk menangani isu bebanan tugas guru di negara ini merupakan komitmen berterusan yang sentiasa menjadi antara keutamaan kementeriannya.

Beliau berkata langkah bersesuaian untuk meringankan beban tugas guru itu akan dilihat dari semasa ke semasa yang menumpukan kepada isu jangka pendek dan jangka panjang.

Februari lepas, KPM mengumumkan tujuh langkah segera untuk mengurangkan beban tugas guru antaranya memansuhkan sebarang bentuk pertandingan, sambutan atau majlis di sekolah yang tidak memberikan impak besar terhadap pembelajaran pelajar.

"Komitmen awal kita dengan tujuh langkah awal (menangani isu beban tugas guru), dengan langkah secara spesifik kita punyai garis panduan...tetapi saya nak tegaskan begini, soal beban guru ini ialah komitmen kita secara berterusan,"katanya.

-- BERNAMA