NIBONG TEBAL: Kementerian Pendidikan (KPM) meluluskan peruntukan sebanyak RM50,000 untuk tujuan penyelenggaraan kepada 74 Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) berstatus sekolah bantuan kerajaan (SBK) di Pulau Pinang bagi tahun ini.

Timbalan Menterinya Lim Hui Ying berkata dana itu akan disalurkan kepada sekolah berkenaan yang memohon peruntukan penyelenggaraan dalam tempoh satu atau dua minggu lagi.

"Dengan usaha dan kerjasama berterusan, kami percaya bahawa pendidikan akan mencapai tahap baharu dan mewujudkan persekitaran pembelajaran dan pertumbuhan yang lebih baik untuk setiap guru dan pelajar," katanya kepada pemberita selepas melawat SRJK (C) Chong Kuang, SJK (C) Kampung Jawi, SJK (T) Nibong Tebal dan SJK (C) Pai Teik di sini hari ini.

Dalam pada itu, Lim turut mengumumkan peruntukan berjumlah RM670,000 untuk menaik taraf dan penyelenggaraan empat sekolah berkenaan iaitu RM150,000 untuk SRJK (C) Chong Kuang, RM200,000 (SJK(C) Kampung Jawi), RM170,000 (SJK (T) Nibong Tebal) dan RM150,000 untuk (SJK (C) Pai Teik).

Beliau turut berharap lebih banyak sekolah membuat Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) seperti yang dilaksanakan di SRJK (C) Chong Kuang di sini bagi memastikan tiada kanak-kanak kurang upaya tercicir daripada mendapat pendidikan yang sewajarnya.

"SRJK (C) Chong Kuang merupakan sekolah yang mempunyai tiga arus iaitu prasekolah, PPKI dan arus perdana. Terdapat 37 murid dalam PPKI sekolah berkenaan.

"Saya ingin menyeru sekolah-sekolah yang mempunyai hasrat untuk memulakan kelas PPKI agar membuat persiapan dan permohonan kepada KPM kerana memang terdapat keperluan untuk menambah program-program seperti ini," katanya.

-- BERNAMA