KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan akan memastikan isu keciciran pelajar tidak berterusan menjadi kebimbangan di negara ini.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek memaklumkan semua anak bangsa yang tinggal di negara ini berhak memperoleh kesaksamaan pendidikan sewajarnya.

“Walau di ceruk mana mahupun pojok tanah air ini mereka berada, Kementerian Pendidikan amat prihatin akan masalah pendidikan khasnya isu keciciran di kalangan pelajar.

“Pihak Kementerian sentiasa mencari jalan penyelesaian ke arah sifar keciciran,” katanya menerusi Amanat Tahun Baharu 2023 yang dikongsi menerusi Facebook hari ini.

Tambah beliau, Kementerian Pendidikan akan sentiasa memantau dan berintervensi pihak sekolah ke atas murid yang berisiko tercicir agar mereka kekal bersekolah sehingga tamat tingkatan lima. 

“Kebajikan warga pendidik akan terus dititikberatkan dan menjadi titik fokus KPM kerana setiap jerih payah mendidik bangsa adalah mutiara yang tiada tolok bandingnya.

“Dunia bersedialah untuk menyambut bakat anak Malaysia,” akhirinya.

Kongsi Fadhlina, ekosistem harmoni yang diterjemahkan dalam rangka murid ceria, guru bahagia, sekolah bitara dan negara sejahtera juga sejajar usaha mengangkat kemuliaan insan tidak kira latar belakang kaum dan agama.