MALAYSIA
KPM perkukuh aspek keselamatan menyeluruh dalam penganjuran sukan - Fadhlina

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek ketika ditemu bual pemberita pada Kempen Jelajah Anti Buli di Yayasan Aman hari ini. - Foto Bernama
BUKIT MERTAJAM: Kementerian Pendidikan (KPM) akan memberi tumpuan kepada aspek keselamatan secara menyeluruh termasuk mempersiapkan pasukan perubatan semasa penganjuran aktiviti atau perlawanan sukan di sekolah
Ringkasan AI
- KPM beri tumpuan keselamatan menyeluruh semasa aktiviti sukan sekolah, termasuk persiapan pasukan perubatan bagi mengelak insiden seperti kematian pelajar dalam Kejohanan Ragbi SBP.
- Pelajar Tingkatan Empat meninggal dunia akibat pendarahan dalaman otot pinggul kanan, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
- KPM tunggu arahan KKM berhubung pemakaian pelitup muka di sekolah susulan dakwaan peningkatan kes influenza, namun bersedia ikut saranan jika diperlukan.
"Jadi untuk ke hadapan ini, tumpuan kita adalah soal keselamatan secara keseluruhan, maknanya bergantung kepada jenis sukan itu dan kemudian persiapan pasukan perubatan dalam konteks setiap perlawanan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Jelajah Anti Buli di Yayasan Aman, di Penanti di sini hari ini.
Beliau berkata Kementerian Pendidikan (KPM) juga sentiasa mengingatkan pelajar dan jurulatih tentang aspek keselamatan yang perlu diberi perhatian berterusan.
Semalam, Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad mengesahkan seorang pelajar Tingkatan Empat, Muhammad Fauzan Mohd Sulaiman, 16, meninggal dunia selepas rebah secara tiba-tiba ketika hendak memasuki padang bagi memulakan perlawanan separuh masa kedua dalam kejohanan itu.
Beliau berkata hasil bedah siasat oleh Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun ke atas mangsa mendapati punca kematian akibat pendarahan dalaman otot pinggul kanan dan kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR).
Dalam perkembangan lain, Fadhlina berkata KPM masih menunggu arahan atau saranan daripada Kementerian Kesihatan (KKM) berhubung kewajipan pemakaian pelitup muka di sekolah berikutan jangkitan influenza yang dikatakan meningkat.
"Kalau ada nasihat atau arahan daripada KKM, kita akan ikut. Setakat ini, tiada masalah di peringkat kami untuk melaksanakan apa-apa saranan atau syor daripada KKM," katanya.
Sebelum ini, tular dakwaan beberapa sekolah mewajibkan pelajar memakai pelitup muka bagi mengekang penularan influenza termasuk di Pulau Pinang walaupun Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan negeri Daniel Gooi melaporkan kes jangkitan influenza di Pulau Pinang masih berada pada tahap terkawal.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami