KPM perkukuh pendidikan awal dengan fokus kepada komunikasi dan sosialisasi

Fokus utama KPM menerusi Kurikulum Prasekolah 2026 ialah mengembalikan pembelajaran kepada fitrah semula jadi kanak-kanak.
PUTRAJAYA: Kurikulum Prasekolah 2026 yang digubal Kementerian Pendidikan (KPM) menumpukan kepada usaha mengembalikan fitrah kanak-kanak dengan memberi ruang kepada mereka membesar, bermain dan berinteraksi secara semula jadi tanpa tekanan akademik yang tidak sesuai dengan usia.
Berbeza dengan amalan sebelum ini yang cenderung kepada latih tubi membaca, menulis dan mengira (3M), kurikulum baharu menekankan kemahiran komunikasi, sosial dan emosi selain hasrat untuk melahirkan murid yang sihat dari segi aspek fizikal, mental serta kerohanian.
Pengarah Bahagian Pembangunan Kurikulum Nooraini Kamaruddin berkata pendekatan baharu itu memberi ruang dan peluang kepada kanak-kanak prasekolah untuk belajar melalui bermain, berinteraksi dan meneroka persekitaran selain memfokus kepada pembentukan karakter, nilai serta keyakinan diri murid.
"Inilah fokus utama KPM, mengembalikan pembelajaran kepada fitrah semula jadi kanak-kanak. Ketika merangka kurikulum baharu, kami duduk bersama-sama pakar perkembangan kanak-kanak yang menekankan sifat semula jadi mereka yang suka bermain dan bersosial.
"Di peringkat prasekolah, proses komunikasi harian itulah yang sebenarnya menjadi asas kepada kemahiran membaca. Fokus kami adalah pada komunikasi dan interaksi sosial, bukan latih tubi murid untuk membaca, menulis serta mengira.
"Selain itu, prasekolah perlu memberi tumpuan kepada aspek perkembangan fizikal dan kesihatan murid, iaitu pembangunan psikomotor kasar dan halus yang dirangsang dengan baik akan membantu dalam perkembangan kanak-kanak secara seimbang dan sihat," katanya.
Nooraini berkata demikian dalam sesi libat urus bersama agensi media berhubung Kurikulum Persekolahan 2027 (KP2027) yang merangkumi Kurikulum Prasekolah 2026 dan Kurikulum Prasekolah 2026 (Pendidikan Khas) di sini baru-baru ini.
Beliau menegaskan bahawa perubahan dasar bagi kurikulum baharu tidak boleh digubal berdasarkan kehendak atau trend semasa semata-mata sebaliknya perlu berlandaskan prinsip pembelajaran kanak-kanak yang diterima di peringkat tempatan dan antarabangsa.
"Penekanan turut diberikan kepada konsep insaniah yang sebelum ini sudah wujud namun kini dijajarkan semula agar lebih selaras dengan keperluan semasa dan cabaran baharu.
"Dari segi dapatan kajian, pembangunan kurikulum (KP2027) ini juga bukan dibuat secara tergesa-gesa kerana usaha merangkanya telah bermula sejak 2021 bagi pelaksanaan pada 2027. Sepanjang tempoh itu, pelbagai sesi libat urus dan kajian komprehensif telah dijalankan. Setiap sesi memberikan pandangan yang berbeza, dan semuanya telah dikumpul serta diteliti bersama data sokongan lain," katanya.
Nooraini berkata tinjauan berskala besar yang dijalankan sebelum ini turut menunjukkan penerimaan positif dengan 71 peratus daripada lebih 60,000 responden menyatakan persetujuan terhadap hala tuju kurikulum baharu, dan semua pandangan itu diambil kira kerana pembangunan kurikulum bukan hak eksklusif KPM semata-mata sebaliknya melibatkan kerjasama pelbagai pihak serta pakar berkaitan.
Turut menarik perhatian mengenai Kurikulum Prasekolah 2026 adalah hakikat bahawa ia tidak hanya membabitkan prasekolah di bawah KPM malah semua Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Kemas, Tabika Perpaduan dan taman didikan kanak-kanak swasta yang berdaftar dengan KPM.
"Ini sebagai rujukan utama yang (wajar) digunakan oleh institusi selain prasekolah KPM bagi memastikan keseragaman dan penyelarasan standard pendidikan awal negara, seterusnya menyediakan murid memasuki Tahun Satu dengan KP2027," katanya.
Ditanya mengenai keseluruhan kerangka KP2027, beliau berkata ia menjurus kepada usaha melahirkan warganegara yang beradab dan bertanggungjawab, menghargai perpaduan, keharmonian selain menghormati kepelbagaian serta mengamalkan kehidupan seimbang merentasi pelbagai aspek.
"Perlu ditekankan bahawa KPM mahu membentuk karakter murid untuk mengembangkan potensi pelajar dan sudah tiba masanya untuk beralih kepada pendekatan berasaskan kompetensi. Pendekatan ini penting untuk memastikan pembelajaran menjadi lebih holistik serta membolehkan murid mengaplikasikan kemahiran dan membentuk sikap yang sesuai dengan keperluan masa depan.
"Kita juga mengambil kira kedudukan serta pencapaian murid Malaysia dalam penilaian antarabangsa seperti TIMSS (Trends in International Mathematics and Science Study) dan PISA (Programme for International Student Assessment).
"Keputusan yang diperoleh (sebelum ini) menunjukkan masih wujud jurang yang perlu diperbaiki untuk meletakkan sistem pendidikan negara setara dengan negara lain," katanya.
TIMSS adalah bagi mengkaji penguasaan murid antarabangsa dalam Matematik dan Sains manakala PISA merupakan kajian pentaksiran antarabangsa yang mengukur pencapaian murid berumur 15 tahun dalam tiga domain literasi (aplikasi) iaitu Matematik, Saintifik dan Bacaan.
Di bawah KP2027, murid sekolah rendah dibahagikan kepada tiga tahap merangkumi Tahun 1 dan 2 (Tahap I), Tahun 3 dan 4 (Tahap II), Tahun 5 dan 6 (Tahap III) dengan pengenalan mata pelajaran baharu Alam dan Manusia :Pembelajaran Bersepadu bagi murid Tahap I.
Turut diperkenal mata pelajaran Teknologi dan Digital di Tahap III, dan seterusnya mereka akan mempelajari mata pelajaran itu sepenuhnya serta diteruskan hingga ke peringkat sekolah menengah.
"KP2027 pada akhirnya diyakini melahirkan 'insan sejahtera' yang dapat berdaya saing di peringkat global dan membudayakan pembelajaran sepanjang hayat," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami



