IPOH: Dua orang cedera selepas sebuah kereta Perodua Myvi yang dipandu seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) terbabas ke dalam sebuah restoran di Taman Kota Jaya, Taiping, hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 10 pagi.
Advertisement
Menurutnya, sebaik menerima maklumat, tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taiping digerakkan ke lokasi kejadian.
“Kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Perodua Myvi dipandu seorang lelaki OKU berumur 69 tahun terbabas ke dalam restoran dan melanggar dua mangsa lelaki.
“Kedua-dua mangsa yang dianggarkan berumur dalam lingkungan umur 50-an yang berada di restoran mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan di sini.
Beliau berkata, kedua-dua mangsa telah dikeluarkan oleh orang awam dari bawah kereta dan mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala kaki dan tangan.
Menurut Sabarodzi, ketua operasi membuat pemantauan di lokasi kejadian dan mangsa diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan untuk tindakan selanjutnya.
Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Norhisham Abd Rashid tamat jam 10.30 pagi.