KPM perkukuh sistem keselamatan sekolah, gubal Akta Anti-Buli

Wong berkata inisiatif itu antara langkah baharu selepas penubuhan Jawatankuasa Khas Reformasi Keselamatan Institusi Pendidikan (JKRKIP) serta audit keselamatan di 735 sekolah seluruh negara sejak Ogos lepas. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) sedang melaksanakan reformasi menyeluruh bagi memperkukuh keselamatan dan disiplin murid, termasuk cadangan menggubal Akta Anti-Buli menggunakan sistem tribunal yang kini diteliti Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU).
Ringkasan AI
- KPM sedang melaksanakan reformasi menyeluruh keselamatan dan disiplin murid termasuk cadangan Akta Anti-Buli berasaskan sistem tribunal, penubuhan jawatankuasa khas, audit keselamatan sekolah serta fungsi aduan tanpa nama.
- Program Pembentukan Karakter Generasi MADANI dan pelantikan Duta Sahsiah serta PRS diperkenalkan bagi membina sahsiah murid, mengurus emosi dan menyediakan saluran sokongan alternatif dalam menangani kes buli.
- KPM meningkatkan jumlah warden asrama dan mempertimbangkan pelantikan sambilan daripada polis atau tentera, selain melaksanakan lawatan mengejut bagi memastikan pematuhan SOP keselamatan dan disiplin di sekolah.
Beliau berkata KPM turut memperkenalkan Program Pembentukan Karakter Generasi MADANI yang menekankan keseimbangan intelektual, sahsiah dan spiritual, dengan elemen pembentukan karakter dimasukkan dalam kurikulum 2027 bagi melatih pelajar mengurus emosi dan membina empati.
Data Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM) menunjukkan 7,681 kes buli direkodkan pada 2024 berbanding 6,528 kes pada 2023, namun Wong berkata KPM yakin insiden dapat dikurangkan menerusi pendekatan menyeluruh melibatkan sekolah, ibu bapa dan komuniti.
"Usaha memerangi buli ini perlu dilaksanakan tanpa kompromi oleh semua pihak, ia bukan sekadar tindakan tatatertib, tetapi tanggungjawab bersama dalam membentuk generasi berakhlak dan selamat," katanya.
Menjawab soalan tambahan Halimah berhubung peranan sekolah dalam mendidik pelajar mengawal emosi, Wong berkata pelantikan Duta Sahsiah dan Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) membantu menyediakan saluran sokongan alternatif kepada murid yang takut melapor kes buli secara terus kepada guru.
Beliau berkata garis panduan baharu melalui Surat Pekeliling Ikhtisas 12/2023 telah memperincikan tatacara pengendalian kes buli fizikal, lisan dan bukan lisan, termasuk proses disiplin, rayuan serta rekod pengendalian kes.
Menjawab soalan tambahan Datuk Adnan Abu Hassan (BN-Kuala Pilah) mengenai keperluan warden sepenuh masa, Wong berkata jumlah warden asrama telah meningkat 68.5 peratus dalam tempoh tiga tahun, daripada 6,055 orang pada 2022 kepada 10,204 orang tahun ini.
"Bagi sekolah yang mempunyai 50 murid asrama, kini diperuntukkan tiga warden berbanding satu sebelum ini. Selain guru, pelantikan juga diperluas kepada kumpulan pelaksana bagi memastikan tanggungjawab dijalankan dengan baik," katanya.
Beliau berkata KPM turut mendapat pandangan untuk melantik warden sambilan daripada pasukan polis atau tentera, sebagaimana dilaksanakan secara rintis di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) bagi menambah keberkesanan kawalan disiplin.
Wong berkata lawatan mengejut atau spot check akan terus dilakukan oleh pengurusan tertinggi KPM, jabatan pendidikan negeri dan pejabat pendidikan daerah bagi memastikan pematuhan SOP keselamatan dan disiplin di semua sekolah termasuk pada waktu malam.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami