SAMARAHAN: Sekolah-sekolah yang dilanda bencana alam dan mengalami kerosakan perlu melaporkan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Di Sarawak khasnya, kejadian banjir atau tanah runtuh yang sering berlaku di kawasan pedalaman akan ditangani melalui peruntukan atau bantuan sedia ada daripada KPM.

Jelas Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Mohamad Alamin, KPM turut memperuntukkan bantuan kewangan untuk menyegerakan proses baik pulih dan naik taraf struktur bangunan sekolah yang rosak.

‘’Terutamanya masalah banjir, seperti di Kedah, Sabah dan di Baram, Sarawak, pernah berlaku di beberapa sekolah dan kita (KPM) ada penyelesaiannya.

‘’Di pihak KPM, kita ada menyediakan beberapa peruntukan kilat contoh kerja-kerja awal membaiki struktur bangunan yang rosak akibat bencana alam dan peruntukan mendesak untuk kerja pembersihan sekolah.

‘’Untuk itu, kita minta setiap guru besar atau pengetua yang terlibat dengan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) masing-masing untuk menghantar laporan ke Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan kemudian ke ibu pejabat di Putrajaya supaya kita boleh sampaikan peruntukan dengan segera,’’ katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melawat beberapa projek sekolah daif antaranya Sekolah Kebangsaan (SK) Pendam, SK Pangkalan Kuap dan SK Sambir di Samarahan.

Dalam pada itu, beliau turut menggesa pihak kontraktor yang terlibat dengan projek naik taraf sekolah daif khasnya di Sarawak untuk mempercepatkan proses pembinaan.

Jelasnya, sepanjang tahun 2019 hingga 2021, sebanyak 186 projek sekolah daif di negeri itu telah diluluskan dengan peruntukan berjumlah RM1.5 billion.

‘’KPM akan sentiasa mencari jalan untuk mempermudahkan pelaksanaan setiap projek itu dan kita akan berbincang dengan agensi kerajaan yang terlibat.

‘’Antaranya Jabatan Tanah dan Survei Sarawak, Jabatan Kerja Raya (JKR), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi memudahkan pelaksanaan projek untuk menyelesaikan isu tanah.

‘’Insya-Allah tidak akan ada kelewatan terlalu lama selepas ini,’’ ujarnya lagi.

Antara lain tambahnya, KPM juga sentiasa memandang serius isu kekurangan guru di Sarawak dan akan merangka mekanisme yang lebih berkesan bagi menangani isu itu.

Setakat April 2021, Kementerian Pendidikan Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak mengesahkan negeri itu mengalami kekurangan seramai 3,385 guru yang merangkumi 1,545 sekolah menengah dan 1,840 sekolah rendah.