23 Delegasi Malaysia Bebas dari Israel, Kini di Istanbul untuk Pemeriksaan & Sokongan – Ikuti Perkembangan Terkini di sini
MALAYSIA

KPM tekan pendekatan mendidik tangani isu buli, bukan hukuman semata-mata

Bernama 05/10/2025 | 06:45 MYT
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek menyampaikan ucapan pada Kempen Jelajah Anti Buli di Yayasan Aman hari ini. - Foto Bernama
BUKIT MERTAJAM: Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil pendekatan bahawa isu buli di sekolah perlu ditangani secara menyeluruh dengan mendidik dan bukan melalui tindakan hukuman semata-mata.


Ringkasan AI
  • KPM tekankan pendekatan mendidik dalam tangani isu buli, bukan hanya hukuman seperti rotan atau buang sekolah, bagi melindungi hak pelajar bawah umur.
  • Kerjasama rapat dengan PDRM diteruskan untuk kes buli yang diklasifikasikan sebagai jenayah, sambil mempergiat advokasi kesan buli termasuk buli mental.
  • Buli mental beri impak mendalam terhadap emosi pelajar, selaras dengan pindaan Akta Kanun Keseksaan 2025 yang memperkukuh tindakan terhadap kes ini.


Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata semua prosedur operasi standard (SOP) berkaitan dengan kes buli juga perlu diberi perhatian dan kesedaran pada peringkat awal bagi memastikan perlindungan dan hak pelajar, khususnya yang masih di bawah umur.

"Sebab itu bagi saya pendekatan yang sekarang kita buat dalam KPM ialah pendekatan mendidik yang ramai tidak suka sebab kata (perlu) rotan sahaja YB. Senang saja orang cakap, tetapi tidak semudah itu.

"Kita boleh ambil tindakan seperti gantung atau buang sekolah, tetapi akhirnya pelajar ini tetap kembali ke sistem pendidikan di bawah KPM untuk dididik semula. Jadi, pendekatan hukuman semata-mata tidak menyelesaikan masalah," katanya ketika merasmikan Kempen Jelajah Anti Buli di Yayasan Aman, Penanti di sini hari ini.

Beliau turut menjelaskan bahawa KPM bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menangani isu buli, termasuk yang diklasifikasikan sebagai kes jenayah.

Fadhlina berkata KPM akan mempergiat advokasi bagi mendidik pelajar tentang kesan buli, termasuk buli mental yang memberikan impak mendalam kepada kesejahteraan emosi mereka, khususnya selepas perkembangan Akta Kanun Keseksaan (Pindaan) 2025 (Akta A1750).

"Buli mental ini kesannya sangat mendalam dan boleh membawa kepada kesan-kesan yang lebih menakutkan dan merisaukan jika kita tidak kekang dari awal," katanya.

-- BERNAMA



#Kementerian Pendidikan #buli #Fadhlina Sidek #SOP