PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) sedang meneliti isu kantin sekolah yang kurang berkemampuan dalam menampung kapasiti murid terutamanya melibatkan sekolah yang padat.

Menterinya, Datuk Radzi Jidin berkata, pihaknya menyedari wujud sekolah yang terpaksa menjalankan lima sesi rehat yang berbeza bermula seawal jam 8.30 pagi.

Perkara itu katanya berikutan kantin sekolah yang tidak mampu menampung bilangan murid yang padat secara serentak selain turut menerima rungutan dalam kalangan ibu bapa.

"Ada sekolah, memandangkan kantin tidak dapat memenuhi keperluan untuk menempatkan murid sewaktu masa rehat, sesi rehat dilaksanakan antara tiga hingga lima kali menyebabkan waktu rehat awal di sesetengah sekolah bermula 8.30 pagi.

"Jika terlalu awal, selang masa antara rehat hingga kembali ke rumah itu panjang.

"Bagi mendapat pandangan kita turun melihat supaya pendekatan dilaksanakan nanti tidak menyebabkan waktu rehat terlalu awal," katanya pada sidang media selepas lawatan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Putrajaya Presint 9, di sini pada Selasa.

Tambahnya, masalah itu juga tercetus akibat penambahan bilangan murid di sekolah yang hanya mampu menampung kapasiti asal bagi jumlah murid.

Ditanya sama ada murid dibenarkan untuk makan di kelas, Radzi Jidin menjelaskan perkara itu menuntut soal pertambahan tenaga kerja di sekolah.

Menyedari situasi tersebut yang pernah dilalui ketika negara berdepan fasa pandemik COVID-19, beliau menyatakan isu berkenaan memerlukan solusi secara menyeluruh bagi mengatasi masalah tersebut.

Turut hadir pada sesi lawatan itu merupakan Ketua Setiausaha KPM Datuk Yusran Shah Mohd Yusof.