CYBERJAYA : KPMG Malaysia menjalinkan kerjasama dengan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dalam membantu 20 syarikat pemula menerusi program Pusat Kecemerlangan Pengasas (FOX) MDEC.

Menurut Ketua Eksport Digital MDEC, Gopi Ganesalingam, menerusi kerjasama itu pihaknya dijangka dapat melahirkan lima syarikat Unicorn Nasional menjelang tahun 2025.

"Program ini sejajar dengan inisiatif Malaysia Digital di mana kita hendak melahirkan lima syarikat Unicorn menjelang tahun 2025.

"Program ini akan melibatkan syarikat yang kita nilai boleh berkembang dengan cepat. Kita sedang mengenal pasti syarikat-syarikat pemula ini dan akan membantu membimbing untuk meningkatkan keupayaan mereka," jelasnya.

Jelasnya, menerusi Program FOX, ia sejajar dengan inisiatif strategik Malaysia Digital, bertujuan mengembangkan kapasiti dan keupayaan digital negara.

Ia juga dijangka meningkatkan nilai keseluruhan ekosistem, termasuk mempercepatkan pertumbuhan ekonomi digital untuk menjadikan Malaysia sebagai Hab Digital ASEAN.

Sementara itu, bagi Pengarah Eksekutif KPMG, Alvin Gan berkata, pelbagai aspek akan dititikberatkan kepada syarikat pemula yang menyertai program itu. 

"Pelbagai aspek akan KPMG bantu, antaranya bidang tadbir urus, teknologi dan awan, selain itu, bidang keusahawanan juga antara utama yang akan kita berikan perhatian.

"Begitu banyak aspek akan diberi penekanan menerusi kerjasama dengan MDEC ini. Kami memulakan beberapa kelas dan seminar sebelum ini, dan kami bekerja sangat rapat dengan mereka.

"Akhir sekali, bagaimana kami nak memupuk syarikat pemula ini bagi memastikan matlamat akhir menjadi syarikat Unicorn itu tercapai," jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Menandatangani Memorandum Kerjasama diantara KPMG dan MDEC di Cyberjaya pada Isnin.