PUTRAJAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menghargai tindakan pihak berkuasa Thailand berhubung kenyataan bahawa syabu dan pil yaba adalah antara jenis dadah yang paling banyak dibawa masuk ke Malaysia.

Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata kenyataan daripada pihak polis Thailand tersebut akan memudahkan lagi usaha PDRM memerangi dadah sintetik di dalam negara.

"Ini satu perkembangan yang menarik dan saya mengalu-alukan kenyataan yang dikeluarkan oleh ketua polis Wilayah Narathiwat.

"Ini menunjukkan bahawa pihak mereka menyedari dan menghargai masalah yang sedang berlaku iaitu kebanjiran pil-pil yaba dadah sintetik ini dari kawasan Segi Tiga di utara itu, datang ke Malaysia melalui jalan darat yang menyebabkan Malaysia menjadi hab kepada pasaran luar negara," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Kejohanan Tembak Royal Malaysia Police (RMP) Open Championship 2023 Level III di sini, hari ini yang turut dihadiri Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution dan Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain.

Beliau berkata perkembangan tersebut dapat mengeratkan perhubungan dua hala antara kedua-dua negara, selain dengan negara jiran seperti Indonesia, Singapura dan Filipina menerusi perkongsian maklumat dalam usaha membanteras kegiatan penyeludupan dadah.

Terdahulu Bernama melaporkan Polis Thailand mendedahkan syabu dan pil yaba adalah antara jenis dadah yang paling banyak dibawa masuk ke Malaysia melalui pangkalan haram di sempadan kedua-dua negara.

Ketua Polis Wilayah Narathiwat Mej Jen Anuruth Imarb berkata kesemua dadah tersebut dibawa masuk dari kawasan utara Thailand iaitu di Segi Tiga Emas (Thailand, Laos dan Myanmar) melalui sindiket dadah, sebelum tiba di sempadan wilayah selatan di Malaysia.

Dalam perkembangan lain, Acryl Sani berkata kawalan keselamatan di perairan pantai timur Sabah masih berada pada tahap yang terbaik namun kesiapsiagaan anggota dan aset sentiasa dipertingkatkan supaya berada pada paras optimum.

Beliau berkata menurut statistik kes yang paling utama berlaku di perairan kawasan tersebut adalah membabitkan penculikan untuk meminta wang tebusan.

"Sehinggga kini kita lihat (kawasan keselamatan) adalah pada tahap yang terbaik dan saya sering ulang bahawa tahap yang terbaik ini tidak boleh dilonggarkan kesiapsiagaannya.

"Kalau lihat statistik kejadian terakhir adalah 15 Jan 2020. Itu pun cubaan yang dapat kami gagalkan. Jadi adakah ini menunjukkan kita berpuas hati? Tidak." katanya.

Susulan itu, beliau berkata pihaknya akan menambah bilangan batalion daripada lima kepada tujuh untuk tingkatkan keupayaan, selain menggunakan khidmat Rela, serta menambah pos kawalan untuk mengukuhkan dari segi rondaan dan kawalan.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya juga sentiasa memohon kepada kerajaan untuk menambah kekuatan aset antaranya aset laut seperti vesel atau mengganti aset yang telah usang.

Bekas Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Yong Teck Lee semalam dilaporkan meminta kerajaan memandang serius usaha untuk memperkuatkan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) sehingga tidak perlu lagi melaksanakan perintah berkurung bagi memastikan sektor ekonomi negeri itu tumbuh dengan pesat.

-- BERNAMA