Skip to main content

Bisnes

Ringgit terus catat kenaikan, tumpuan pada anggaran awal KDNK

Ringgit diniagakan tinggi berbanding mata wang utama namun lebih rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) semasa dibuka hari ini dengan sentimen berhati-hati menjelang pengeluaran minit mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) AS minggu ini, kata pakar ekonomi._BERNAMA
Pada 8 pagi, mata wang tempatan mengukuh kepada 3.9505/9565 berbanding dolar AS. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Ringgit meneruskan kenaikannya berbanding dolar AS dan mata wang utama lain pada Jumaat, disokong oleh sentimen domestik yang lebih baik apabila pasaran menantikan anggaran awal Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi suku pertama 2026 pada tengah hari ini, berpotensi terus menyokong mata wang tempatan.

Pada 8 pagi, mata wang tempatan mengukuh kepada 3.9505/9565 berbanding dolar AS daripada 3.9520/9560 semasa ditutup pada Khamis.

Advertisement

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ringgit dijangka kekal pada paras RM3.95 hari ini.

“Tumpuan adalah pada anggaran awal KDNK bagi suku pertama 2026, dengan unjuran median pada 5.5 peratus (Suku Keempat 2025: 6.3 peratus). Data ini berpotensi menyokong ringgit,” katanya kepada Bernama.

Pada peringkat global, katanya optimisme terhadap rundingan pusingan kedua antara Amerika Syarikat dan Iran serta prospek gencatan senjata yang kekal boleh meningkatkan sentimen risiko, sekali gus menyokong mata wang pasaran sedang pesat membangun, termasuk ringgit.

Pada sesi pembukaan, mata wang tempatan diniagakan tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ringgit mengukuh berbanding pound kepada 5.3431/3512 daripada 5.3506/3560 semalam, meningkat berbanding euro kepada 4.6537/6608 daripada 4.6551/6598 dan naik berbanding yen Jepun kepada 2.4812/4851 daripada 2.4848/4874 sebelum ini.

Mata wang tempatan diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang ASEAN.

Ringgit meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.1026/1078 daripada 3.1069/1103 pada Khamis, naik berbanding baht Thailand kepada 12.3222/3502 daripada 12.3473/3664 dan menokok berbanding peso Filipina kepada 6.58/6.60 daripada 6.59/6.60 sebelum ini.

Bagaimanapun, ringgit mendatar berbanding rupiah Indonesia kepada 230.5/230.9.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video