Pengerusi Pasukan Bertindak Pemantau Jenayah Malaysia (MyWatch) R.Sri Sanjeevan pernah beberapa kali mempunyai peluang untuk mendedahkan individu yang memberi maklumat mengenai salah laku anggota polis namun beliau seringkali enggan berbuat demikian.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata meskipun Sanjeevan mendakwa ada mempunyai maklumat-maklumat penting mengenai perkara itu namun tidak pernah sekalipun beliau cuba untuk membuat pendedahan.

"Jika dia mempunyai memorandum atau data di dalam 'thumb drive' sekalipun, dia tidak pernah cuba menyerahkannya kepada kami," kata Khalid dalam satu sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Op Selamat 3/2013 sempena Hari Raya Aidilfitri di satu pusat membeli belah di sini.

Beliau menambah, Sanjeevan memberi alasan bahawa dia belum bersedia untuk menyerahkan sumber tersebut.

"Saya pernah mengatakan padanya bahawa jika dia tidak mahu menyerahkan pemberi maklumat atau 'whistleblower' itu kepada polis, beliau bolehlah juga menyerahkannya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) tapi dia masih juga tidak berbuat demikian," katanya lagi.

Sementara itu di laman FreeMalaysiaToday dilaporkan bahawa KPN berkata penembak Sanjeevan merupakan kawan beliau sendiri dan bukan pembunuh upahan.

Khalid juga mengulas bahawa pihak polis telah mengenal pasti beberapa suspek di dalam kes ini.

Sanjeevan telah ditembak berhampiran Taman Cempaka di Negeri Sembilan Sabtu lalu.

Dalam kejadian tersebut, Sanjeevan cedera parah akibat ditembak dua lelaki bermotosikal ketika memandu keretanya untuk minum petang bersama seorang rakan.

Mangsa kini dilaporkan berada dalam keadaan kritikal dan berada di Hospital Serdang untuk menjalani pembedahan mengeluarkan peluru selepas dipindahkan dari Hospital Tunku Jaafar, Kuala Pilah.


Khalid memberitahu, sejurus selepas Sanjeevan mengeluarkan kenyataan bahawa beliau mempunyai maklumat mengenai perkara tersebut, Bukit Aman menghantar Ketua Urusetia Tatatertib untuk bertemu dengan pemberi maklumat itu sambil ditemani oleh Sanjeevan namun polis hanya dapat bercakap melalui telefon sahaja tanpa mengetahui identiti pemberi maklumat itu.

"Mana kita nak tahu siapa yang bercakap melalui telefon itu," katanya.

Khalid juga memaklumkan bahawa selepas itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Datuk Noor Rashid Ibrahim telah dihantar oleh Bukit Aman untuk menemui Sanjeevan bagi mendedahkan individu pemberi maklumat itu dan sekali lagi, Sanjeevan mengatakan bahawa dia belum bersedia.

"Jadi, bagaimana kita nak mulakan siasatan," ujar Khalid.

Khalid juga memberitahu, polis akan memanggil bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan atau Ketua Strategik PKR, Rafizi Ramli jika ada keperluan untuk membantu siasatan berhubung kes tembakan itu.

Pada masa sama, beliau dan pucuk pimpinan tertinggi PDRM mengalu-alukan sebarang maklumat berkenaan dengan salah laku mana-mana pegawai polis.

"Jikalau, maklumat itu tidak mahu diberikan kepada kita sekalipun, silalah beri kepada SPRM atau badan pemantau polis (IEAC). Tidak ada sesiapa melarang kepada sesiapa juga untuk membuat sebarang aduan terhadap kami (polis)," kata beliau.

Malah, beliau menjamin siasatan rapi akan dibuat sekiranya maklumat itu diberikan kepada polis.

Sementara itu, Sanjeevan sekarang masih lagi menerima rawatan di Hospital Serdang dan polis akan membiarkan beliau pulih sepenuhnya sebelum mengambil kenyataannya untuk membantu siasatan.

"Kita sedang mengenalpasti beberapa suspek dan biarlah kita menjalankan siasatan terlebih dahulu," kata Khalid.