MALAYSIA
KPT beri sokongan penuh ahli akademik sertai misi kemanusiaan GSF

Zambry berucap pada Sambutan Hari & Bulan Akademia Peringkat Kebangsaan di Dewan Tuanku Canselor Universiti Sains Islam Malaysia, hari ini. - Gambar Bernama
NILAI: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sentiasa memberikan sokongan penuh kepada pejuang kemanusiaan termasuk rakyat Malaysia khususnya ahli akademik yang menyertai Global Sumud Flotilla (GSF).
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata pihaknya mendoakan kesejahteraan para pensyarah yang terlibat dan berharap mereka berada dalam keadaan selamat sepanjang perjalanan dan pelaksanaan misi kemanusiaan itu.
"Bagi para pensyarah kita dan sebagainya (yang terlibat), kami sentiasa mendoakan mereka dan kami memberi sokongan agar mereka berada dalam keadaan yang selamat.
"Negara secara keseluruhannya telah menyuarakan bantahan terhadap tindakan yang dibuat oleh rejim Israel terhadap Palestin yang tidak langsung mematuhi undang-undang antarabangsa," katanya selepas merasmikan Sambutan Hari dan Bulan Akademia Peringkat Kebangsaan 2025 bertemakan Integrasi Kecerdasan Buatan dalam Pendidikan Tinggi di sini hari ini.Media sebelum ini melaporkan lapan lagi sukarelawan rakyat Malaysia terdiri daripada pakar perubatan, wartawan dan aktivis kemanusiaan menyertai gelombang ketiga misi bantuan kemanusiaan ke Gaza di bawah gabungan Freedom Flotilla Coalition dan Thousand Madleens to Gaza (FFC x TMTG).
Mereka adalah Dr Fauziah Hassan, Dr Hafiz Sulaiman dan Dr Ili Syakira Mohd Suhaimi, selain wartawan Astro Awani Syafik Shukri Abdul Jalil, dua pensyarah iaitu Prof Dr Mohd Afandi Salleh dan Dr Noorhasyimah Ismail serta Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCARE Norsham Abu Bakar.
Misi GSF yang disertai lebih 500 aktivis dari 44 negara, termasuk Malaysia belayar menuju Gaza sebagai simbol solidariti dan usaha memecahkan sekatan Israel dengan membawa bekalan penting untuk penduduk Palestin yang terjejas akibat serangan Zionis yang berterusan.
-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami