KUALA LUMPUR: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menggariskan tiga teras strategi utama dalam Pelan Tindakan Keusahawanan Institut Pengajian Tinggi (IPT) 2021-2025.

Menterinya, Datuk Seri Noraini Ahmad berkata, kerangka strategik tersebut akan membentuk sinergi ekosistem antara keusahawanan, akademik, industri, kerajaan dan komuniti dalam landskap pendidikan tinggi negara.

“Pelan ini memfokuskan kepada tiga teras strategi iaitu pertama memantapkan ekosistem keusahawanan yang bersinergi dan holistik.

“Kedua, pelan memperkasakan jaringan keusahawanan yang berimpak tinggi dan menekan kepada keusahawanan yang berteraskan inovasi dan teknologi,” katanya pada majlis pelancaran Pelan Tindakan Keusahawanan IPT dan Panduan Pendidikan Keusahawanan Bersepadu IPT secara maya pada Jumaat.

Katanya lagi, pelan tindakan yang dilancarkan itu merupakan naratif baharu kepada program-program pembangunan keusahawanan di IPT sekali gus mencerminkan komitmen KPT dalam mendukung hasrat kerajaan untuk melahirkan lebih ramai usahawan berkemahiran tinggi.

“Secara umumnya, kerangka strategi ini meraikan pembentukan ekosistem keusahawanan yang sinergistik antara keusahawanan, akademik, industrim kerajaan dan komuniti dalam landskap sistem pendidikan tinggi negara.

“Selain itu, pelan ini turut menekankan elemen pengukuhan kolaborasi dalam bidang keusahawanan yang berimpak tinggi melibatkan pelbagai pihak yang strategik.

“Pemerkasaan elemen inovasi dan teknologi dalam keusahawanan turut diberi perhatian khusus selaras dengan perkembangan teknologi terkini seperti e-dagang, FinTech, big data, kejuruteraan robotik dan Internet of Things. Ini penting bagi memberikan nilai tambah kepada pelajar,” katanya.

Dalam perkembangan yang sama, beliau berkata Panduan Pendidikan Keusahawanan Bersepadu IPT dilhamkan berteraskan kepada pentingnya kurikulum dengan dunia perniagaan sebenar serta pembelajaran berasaskan masalah dan pengalaman.