KUALA LUMPUR: Program bantuan kewangan baharu kepada penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) dikenali KPT IHSAN dan kenaikan kadar Bantuan Kewangan Orang Kurang Upaya (BKOKU) dijangka dilaksanakan tahun hadapan.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata inisiatif serta kadar bantuan baharu itu selaras komitmen KPT mewujudkan ekosistem pembelajaran yang kondusif dan langkah itu akan dilaksanakan sekiranya mendapat kelulusan daripada Kementerian Kewangan.

Beliau berkata KPT IHSAN merupakan program bantuan kewangan secara sekali beri kepada pelajar IPT yang memerlukan seperti bantuan permulaan pengajian, peranti serta pelan data, malah bantuan melangsaikan yuran tertunggak dan sebagainya.

"KPT pada 26 Ogos lepas juga bersetuju meningkatkan kadar bantuan (BKOKU) yang hampir 17 tahun tidak ada sebarang kenaikan. Kadar bantuan baharu yang dicadangkan adalah seperti menaikkan kadar bantuan wang saku daripada RM300 kepada RM500 sebulan.

Menaikkan kadar maksimum bantuan (BKOKU) dengan 100 peratus kenaikan iaitu daripada RM5,000 kepada RM10,000 setahun atau daripada RM20,000 kepada RM40,000 bagi sepanjang tempoh pengajian," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2022 di Dewan Rakyat di sini pada Selasa.

Mengulas lanjut, Noraini berkata bagi memudahkan proses permohonan BKOKU, ia akan diberikan secara terus kepada penuntut OKU di IPT tanpa perlu membuat permohonan.

"Ini adalah satu lagi kaedah baharu yang akan dilaksanakan oleh KPT yang mesra OKU," katanya.

Persidangan Dewan Rakyat bersambung hari ini.

-- BERNAMA